Adakah UMNO keluar PN kerana marah Najib didapati bersalah?

0
546
fotoBERNAMA

PADA 28 07 2020, selepas Mahkamah Tinggi mensabitkan dan menghukum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas tujuh tuduhan penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd., bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengeluar kenyataan bahawa UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar. Kenyataannya itu dilihat sebagai bayangan bahawa UMNO mungkin keluar daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akibat keputusan mahkamah itu.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa, kerana marah atau kecewa DS Najib disabitkan dan dihukum, Presiden UMNO itu membuat keputusan menarik UMNO keluar dari PN. Tanpa apa-apa penjelasan selanjutnya, apa yang kita fikir ialah ahli-ahli Parlimen UMNO tidak akan menyokong DS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan DS Muhyiddin dan Kerajaan PN akan tumbang. Hanya dua kemungkinan menunggu: PH akan mengambil alih pemerintahan Kerajaan Persekutuan semula atau Parlimen akan dibubarkan.

Beliau marah kepada atau kecewa dengan siapa? Satu-satunya andaian yang boleh dibuat ialah kepada atau dengan TS Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan PN kerana tidak mahu campur tangan untuk membebaskan DS Najib sama ada dengan mengarahkan Pendakwa Raya menarik balik pertuduhan atau mengarahkan hakim membebaskannya. Jika itulah sebabnya, maka ia amatlah mendukacitakan. Ia bererti bahawa beliau membawa UMNO menyertai PN dengan tujuan atau, sekurang-kurangnya, dengan harapan Perdana Menteri dan Kerajaan PN akan membebaskan DS Najib dan mungkin beliau juga. Jika itu benar, maka beliau langsung tidak menghormati prinsip pengasingan kuasa (separation of powers) dan keluhuran undang-undang (rule of law).

Sila baca rencana-rencana saya seperti “Withdrawal of Charges: Attorney General Should Explain” (11 08 2018) First Three Months of Tommy Thomas as Attorney General” (09 09 2018), “Pesanan Kepada Kerajaan PN: Walaupun Kekal Sehari, Buat Yang Betul” (02 03 2020) dan rencana sebelum ini bertajuk “Campur Tangan Pemimpin Politik Dalam Keputusan Mahkamah” (31 Julai 2020), kesemuanya boleh didapati dalam laman-laman web saya.

Pada 30 Julai 2020, BH Online melaporkan:

KUALA LUMPUR: UMNO membuat keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

 Pendirian terbaharu itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

 Beliau berkata, sokongan kepada kerajaan PN ketika ini, hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri.”

 Perhatikan, kenyataan itu menyebut tujuan UMNO keluar daripada PN adalah untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS dan komponen Barisan Nasional (BN). Ia masih tidak menyebut sebab  keputusan itu dibuat. Malah, mengikut laporan Malaysiakini:

“Ditanya sama ada ia mempunyai kaitan dengan keputusan mahkamah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, Zahid berkata: “Itu terpulang kepada pengamal media untuk melakukan tafsiran.”

Maka, sebab yang boleh “ditafsirkan” daripada kenyataan DS Zahid yang pertama itu kekal sebagai satu titik hitam terhadapnya dan terhadap sesiapa yang menyokong pendirian itu atas alasan itu.

Pada 2 Ogos 2020, BH Online melaporkan:

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak menyertai gabungan itu secara rasmi.”

 Kenyataan itu melegakan dari segi politik. Sama ada keputusan itu baik atau tidak untuk politik UMNO, PAS dan kepentingan Melayu/Islam adalah satu perkara lain. Sila baca rencana-rencana saya seperti “Pembahagian Kawasan Pilihan Raya Antara Parti-Parti Komponen PN Dalam PRU15” (22 06 2020), “UMNO Dan PAS Perlu Sepakat” (28 06 2020) dan TS Muhyiddin Kembali Kepada UMNO : Sokongan Terhadap DS Nazri Aziz” (09 07 2020) kesemuanya boleh didapati dalam laman-laman we saya.

Adalah diharapkan bukan sahaja DS Zahid, tetepi semua pemimpin-pemimpin politik membersihkan minda mereka daripada tanggapan bahawa Perdana Menteri atau Eksekutif boleh campur tangan dalam keputusan mahkamah mengenai sesuatu kes. Mereka eloklah belajar sedikit mengenai prinsip pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang dan menghormatinya. Jika tidak, mereka akan mengelirukan orang ramai.

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here