Jangan jadi kerbau bawa lumpur

0
854
PENDUDUK sekitar kawasan Napoh menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Napoh semalam berikutan terdapat kluster baharu yang dikenalpasti iaitu Kluster Sivagangga/fotoBERNAMA

IBARAT seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit. Nila setitik rosak susu sebelanga. Gara-gara seorang individu ingkar kuarantin, kira-kira 7,000 penduduk empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) sehingga 30 Ogos ini.

Peristiwa ini patut dijadikan iktibar oleh setiap individu terutama mereka yang diminta untuk dikuarantin oleh pihak berkuasa. Kita bukan hidup di kayangan tetapi di muka bumi yang memerlukan hidup bermasyarakat, hormat menghormati, patuh kepada peraturan dan undang-undang demi kepentingan bersama.

Amat malang, penduduk di empat kawasan yang sudah mula menyesuaikan diri dengan kehidupan norma baharu tiba-tiba kembali ‘terkurung’ gara-gara 11 kes Covid-19 yang berpunca daripada kluster PUI Sivagangga.

Empat kawasan terbabit ialah Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh, Kampung Pida Satu di Megat Dewa, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Kampung Ulu Sanai di Padang Terap yang kesemuanya terletak dalam radius satu kilometer dari restoran tersebut.

Restoran wajib ditutup. Mungkin hukuman lebih berat dikenakan tetapi banyak lagi aktiviti kehidupan lain yang terjejas. Pergerakan penduduk terbatas. Anak-anak tidak dapat ke tadika atau sekolah. Jemaah surau dan masjid yang mula kembali solat Jumaat dan berjemaah terpaksa kembali seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehingga semalam, sebanyak 313 individu daripada kluster tersebut telah disaring dengan 20 dikesan positif Covid-19 sementara 280 individu negatif, manakala bakinya masih menunggu keputusan. Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan ke atas penduduk di kawasan terlibat.

Apa yang berlaku jelas menunjukkan pentingnya Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi bukan sahaja oleh mereka yang berisiko atau tidak bagi memutuskan rantaian jangkitan dan mencegah wabak dalam komuniti. Sikap tidak ambil peduli, memandang remeh SOP boleh menimbulkan masalah yang tidak boleh dijangka. Buktinya kluster PUI Sivagangga.

Apa yang berlaku di Kedah itu boleh berlaku di tempat lain sekiranya masih ada individu yang menunjukkan keegoan mereka terhadap SOP.

Di mana sahaja kita berada, jangan meletakkan diri kita sebagai penyebar atau punca penularan wabak ini dalam komuniti. Siapa pun kita sama ada sebagai individu atau pemilik premis khususnya perniagaan perlu bertanggungjawab memerangi wabak yang begitu mudah merebak ini.

Kawalan kendiri amat penting. Jika ada gejala termasuk batuk dan selesema, jangan mendedahkan diri di tempat awam sama ada di pusat membeli belah, pusat hiburan atau pawagam, masjid atau surau, sekolah, pasar, pengangkutan awam dan sebagainya. Jangan letakkan diri anda sebagai bom jangka di tempat awam.

Fahamilah bahawa setiap peraturan yang dikenakan adalah untuk pencegahan bukan menyusahkan. Jika segala SOP itu dianggap menyukarkan atau menyulitkan, bagaimana pula apabila berlaku seperti kluster PUI Sivagangga? Mana lebih sukar hidup mematuhi SOP atau hidup diikat PKPD.

Apabila kes seumpama ini berlaku, keadaan lebih merumitkan apabila premis tidak mempunyai rekod pengunjung sama ada mendaftar melalui buku yang disediakan atau tidak mempunyai kemudahan bagi pelanggan mengimbas kod melalui aplikasi seperti MySejahtera. Kenapa SOP ini tidak diikuti?

Adakah semua SOP yang perlu dipatuhi ini memerlukan penguatkuasaan? Jika tidak ada pihak berkuasa mengunjungi premis atau melakukan pemeriksaan mengejut maka masyarakat tidak ambil peduli atau hanya pandang sebelah mata?

Masyarakat kita kebanyakannya hanya takut kepada penguatkuasaan. Buanglah sikap seumpama itu. Contohnya di jalan raya, apabila nampak amaran kamera had laju di hadapan, sikap pemandu tiba-tiba berubah menjadi sopan tetapi selepas melintasi kawasan itu, pemandu memecut bagaikan pelesit.

Justeru patuhlah SOP demi kebaikan bersama. Undang-undang itu sebagai panduan untuk kita patuh, memilih mana yang baik dan mana yang buruk. Ingat kita bukan hidup seperti enau di hutan tetapi kehidupan dalam sebuah masyarakat ibarat aur dengan tebing.

Ingatlah, SOP memerangi Covid-19 berkaitan dengan nyawa. Kita mungkin boleh membayar denda tidak ia tidak mampu ‘membeli’ kesihatan dan nyawa manusia.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here