Belum mula ketua penolong, Arul dinaik pangkat ketua jurulatih

0
585
A. Arul Selvaraj

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

BARU tiga minggu diumumkan sebagai ketua penolong jurulatih hoki lelaki negara, A. Arul Selvaraj yang belum pun memulakan tugas baharunya itu ‘dinaikkan pangkat’ serta-merta sebagai ketua jurulatih.

Semuanya gara-gara peletakan jawatan penyandang asal, Roelant Oltmans secara persetujuan bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), dua bulan lebih awal dari tarikh kontraknya berakhir Oktober ini.

Warga Belanda itu pula menyatakan pandemik Covid-19 yang membawa situasi tidak menentu dan berjauhan dengan keluarga, sebagai antara alasan utama pengundurannya menerusi sepucuk surat kepada KHM semalam.

Pada 14 Julai lalu, Arul diumumkan sebagai ketua penolong berkuat kuasa 15 Ogos ini namun akan terus menikmati kenaikan jawatan itu sekembalinya ke tanah air dari Dublin, Ireland dan menjalani tempoh kuarantin wajib dua minggu bagi mengesan gejala Covid-19.

““Arul diberikan kontrak dua tahun. Dia diberikan peluang memilih pemain-pemain yang dirasakannya perlu untuk pasukan kebangsaan menerusi Piala Tun Abdul Razak di mana semua pemain, akan kembali ke pasukan negeri masing-masing.

“Hari ini KHM mengumumkan Oltmans secara rasminya tidak lagi memegang jawatan ketua jurulatih skuad lelaki kebangsaan berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua pihak,” kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal dalam siaran media hari ini.

Beliau bagi pihak KHM, tetap berterima kasih dan menghargai jasa dan khidmat jurulatih berusia 66 tahun itu sepanjang dua tahun membimbing ‘Harimau Malaysia’ sejak menggantikan anak tempatan, Stephen van Huizen pada Oktober 2018.

Namun kata Subahan yang mendapat kata sepakat Jawatankuasa Kejurulatihan KHM mengenai pelantikan Arul itu, “ada beberapa kejohanan yang pasukan kita sebenarnya boleh capai lebih baik tetapi gagal. (Walau bagaimanapun) kami faham Oltmans telah berikan sepenuh jiwa raganya.”

Sekalipun tidak merujuk apakah misi gagal itu, ramai pemerhati hoki pasti pantas meneka kepada tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang mudah disambar Great Britain setelah mengalahkan anak-anak buahnya 9-3 secara agregat di London, November lalu.

Sementara itu, sesi latihan skuad kebangsaan sekarang menjelang kepulangan Arul, akan dipangku sementara oleh penolong jurulatih, Muhammad Amin Rahim dan jurulatih penjaga gol, Nasihin Nubli Ibrahim.

Misi skuad negara berikutnya ialah Trofi Juara-juara Asia Keenam di Dhaka dari 17 hingga 27 November yang turut disertai Pakistan, India, Jepun dan Korea Selatan serta tuan rumah, Bangladesh.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here