[VIDEO] Letupan di Beirut: Lubnan berkabung selepas letupan besar

0
521

Oleh Fetty Rara

LUBNAN hari ini diletakkan dalam keadaan berkabung berikutan tragedi letupan besar di Beirut yang menyebabkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dan lebih 4,000 mengalami kecederaan.

Letupan besar yang menggegarkan seluruh bandar raya Beirut itu berpunca daripada kebakaran yang berlaku di pelabuhan Beirut, lapor bbc.com.

Presiden Lubnan Michel Aoun berkata api telah menyebabkan sebanyak 2,750 tan kimia ammonia nitrat yang disimpan secara tidak selamat dalam sebuah gudang di pelabuhan itu selama enam tahun meletup.

Beliau kemudian memanggil satu mesyuarat tergempar kabinet hari ini dan seterusnya menyatakan keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Beirut.

Seluruh Lubnan akan berkabung selama tiga hari bermula hari ini.

Presiden Aoun turut mengumumkan bantuan kecemasan sejumlah 100 bilion Lira (RM277 juta).

Pengarah Persatuan Bulan Sabit Merah Lubnan George Kettani memberitahu media tempatan bahawa apa yang berlaku itu merupakan bencana besar.

Beliau berkata lebih 100 orang setakat ini maut sementara pasukan keselamatan sedang berusaha untuk mencari dan menyelamat mangsa di kawasan-kawasan yang terkesan.

Sementara itu, satu siasatan sedang dijalankan bagi memastikan punca sebenar letupan tersebut.

Majlis Pertahanan Tertinggi Lubnan berkata pihak yang bertanggungjawab akan berdepan dengan tindakan paling berat mungkin.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here