Perhebatkan sukan maya di alaf norma baharu

0
518

Oleh DETEKTIF SUKAN

WALAU apa pun berlaku — Covid19, ketidakstabilan politik, kemurungan ekonomi dan sebagainya, pencarian bakat dan jaguh adalah suatu kewajipan yang tidak dapat dielakkan.

Ditambah pula dengan zaman pendemik ini seharusnya Abang Long sukan negara di kalangan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) perlu lebih proaktif dan mungkin juga inovatif dan tidak mengalah pada keadaan.

Detektif Sukan mendengar ada program rangsangan sukan yang diilhamkan Menteri Belia dan Sukan telah mengambil langkah proaktif.

Ia bertujuan membantu penggiat sukan di Malaysia terutamanya pemegang taruh di kalangan persatuan-persatuan sukan yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Dengan lahirnya Inisiatif Prihatin Sukan 2020, sebanyak RM10 juta telah diperuntukan. (http://www.kbs.gov.my/inisiatif-prihatinsukan2020.html)

Menurut bapa Menteri, Datuk Seri Reezal Merican, KBS berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan impak ekonomi dan kewangan penggiat sukan tanah air terutamanya persatuan-persatuan sukan yang terkesan berikutan penularan wabak COVID-19.

“Selain itu, ia juga bertujuan memastikan persatuan-persatuan sukan akan terus berdaya saing menerusi inisiatif pengupayaan melalui bantuan dana menjalankan program dan aktiviti norma baharu semasa dan pasca PKPB serta inisiatif pendigitalan dan R&D persatuan-persatuan sukan,” kata beliau.

Selaras dengan inisiatif itu, Detektif Sukan
mempunyai beberapa idea dan langkah yang difikirkan dapat membantu:

1. e-Talent Scouting (e-Pencarian Bakat)

Melalui maklumat dan data terkumpul menerusi PSK, sudah sampai masanya
pembinaan sistem maklumat profiling bakat boleh dikumpulkan secara maya.

Antaranya, mengenal pasti ketinggian atlet, berat, jauh lonjakan, kepanjangan tangan, kecenderungan, latar belakang genetik keluarga dan keadaan fizikal lain yang boleh dilihat pada mata kasar.

Contohnya, algoritma genetik: Menggunakan model berasaskan konsep evolusi (mutasi, perkongsian genetik, keupayaan hidup) untuk menghasilkan penyelesaian termudah bagi sesuatu masalah.

Data itu kemudiannya boleh dilakukan untuk membuat saringan pemilihan dan rekod serta sentiasa dapat dikemas kini dari semasa ke semasa.

2. e-Coaching From Home (e-Latihan Dari Rumah)

Hasil daripada pengumpulan data bakat dan penelitian pada pencarian, tanggungjawab seterusnya boleh dijana melalui kepakaran program dari jurulatih-jurulatih di sesuatu pusat.

Contohnya, fokus bukan sekadar pada skala besar tetapi menerapkan konsep jurulatih angkat di kalangan guru-guru sekolah atau ibu bapa dari komuniti yang berminat dengan sukan.

3. Revolusi Sukan 4.0 — Virtual Reality (VR) dan pembangunan fasiliti simulasi sukan

Sejajar kempen kemunculan Revolusi Industri 4.0, sukan tidak terkecuali daripada arus teknologi yang semakin hari semakin canggih.

Melalui pakej Inisiatif Prihatin Sukan ini, penggiat sukan dan badan sukan boleh meluaskan penggunaan teknologi VR terutamanya dalam pertandingan sukan. Ia termasuk penggunaan fasiliti simulasi sukan yang telah menjadi popular dalam tempoh PKP ini.

Antara contoh kejohanan yang dibuat secara maya ialah perlumbaan Tour Flanders yang hanya dilangsungkan secara maya. Perlumbaan akhir De Ronde sejauh 32 kilometer hanya ditayangkan secara atas talian.

Oleh itu, norma baharu yang berlaku ini boleh digembling secara profesional.

Ia boleh dipraktikkan agar sukan sentiasa mekar dan organisasi sukan boleh menggunakan kaedah baru ini dalam latihan harian mahupun pertandingan dalaman.

Malah, kaedah itu boleh digunakan oleh seluruh rakyat sebagai salah satu aktiviti gaya hidup sihat.

Mungkin dengan insentif yang diberi serta sokongan kerajaan dan badan korporat, hasrat itu dapat direalisasikan. Terima kasih.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here