Presiden Netizen bakal komen peserta Big Stage 2020

0
326
Peserta Big Stage 2020 yang bakal bertanding pada 16 Ogos ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DISEBABKAN pandemik Covid-19, produksi program Big Stage 2020 untuk musim ketiga terpaksa melakukan beberapa perubahan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Antara perubahan dan penambahan yang dilakukan untuk musim ini termasuklah tentang jumlah penonton yang boleh hadir di lokasi sewaktu siaran berlangsung.

“Kalau ikutkan musim terdahulu, kita ada lebih kurang 1,000 penonton tapi kali ini kita terpaksa hadkan kepada 200 orang saja disebabkan penjarakan sosial.

Qody Rany (kiri) dan Usop, masing-masing pernah sertai program Mentor Milenia sebelum ini.

“Kita juga telah memperkenalkan sistem baharu iaitu virtual audiens, di mana kita akan ada skrin besar yang boleh memuatkan 100 orang, di kalangan ahli keluarga dan peminat kepada artis yang bertanding,” jelas Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal pada majlis sidang media Big Stage 2020 kelmarin (4 Ogos).

Tambah Emarina, Big Stage 2020 yang bakal bersiaran pada pukul 9 malam, setiap Ahad, bermula 16 Ogos ini di saluran Astro HD (104) dan Astro Ria (124) akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Katanya, kali ini lapan peserta lelaki dan empat wanita akan bersaing selama lapan minggu. Pencarian peserta dibuat selepas selesai Big Stage musim kedua yang mengangkat Han Byul sebagai juara.

“Selalu pun kita tak ada tetapkan, kena seimbang antara peserta lelaki dan wanita. Untuk tahun ini kebanyakan poll (undian) yang kami cari, perempuan agak kurang dan kami sepakat untuk ambil lapan lelaki dan empat perempuan.

Tiga juri tetap, dari kiri Faizal Tahir, Ajai dan Dayang Nurfaizah.

“Untuk tahun ini 3 / 4 daripada peserta adalah mereka yang pernah menyertai pertandingan realiti show yang lain. Saya rasa inilah masanya untuk kami ketengahkan bakat mereka. Tak kurang juga  yang tak pernah langsung masuk pertandingan. Big Stage boleh dijadikan sebagai platform untuk mereka mengatur langkah dalam kerjaya seni,” jelasnya.

Antara peserta yang pernah menyertai program realiti dan muncul sebagai naib juara Mentor Millenia adalah Usop dan Qody Rany. Lain-lain peserta adalah Azzam Sham, Farisha Iris, Amir Hasan, Yamani Abdillah, Nana Sheme, Sandra Dianne, Dinie Rashid, Hanie Soraya, Hafiz Zainal dan Fadh Majid.

Kesemua mereka akan dinilai oleh juri tetap iaitu Ajai, Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah beserta seorang juri jemputan yang diundang setiap minggu.

Persembahan peserta bukan saja dinilai oleh para juri, kali ini buat pertama kali mereka juga akan menerima komen daripada Presiden Netizen yang terdiri daripada Neelofa, Michael Ang dan Caprice.

Tugas Presiden Netizen adalah meluahkan pendapat dan komen mereka secara jujur dan sebab itu peserta perlu kental apabila dikomen.

Sherry Alhadad dan Alif Satar masih menggalas tanggungjawab sebagai hos Big Stage 2020.

Menariknya, peminat juga diberi kuasa untuk memilih sendiri seorang lagi calon Presiden Netizen untuk bergandingan dengan Presiden Netizen yang sedia ada itu.

Program yang masih mengekalkan Alif Satar dan Sherry Alhadad sebagai hos itu menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 kepada juara, RM50,000 untuk naib juara dan RM25,000 bagi tempat ketiga.

Untuk tempat keempat, kelima dan keenam, masing-masing akan menerima wang tunai RM15,000 RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here