Penjaga gol JDT penyelamat nombor dua terbaik Piala AFC

0
369
IZHAM Tarmizi Roslan (dua dari kiri) sekadar beroleh 16 peratus undi pelayar the-afc.com. Kiri ialah pemenangnya, Lo'ai Al Amaireh. - Foto AFC
Oleh Abdul Hafiz Ahmad

HANYA nombor dua menjadi habuan Izham Tarmizi Roslan setelah penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) cuma beroleh 3,416 undi atau 16 peratus daripada jumlah keseluruhan, 21,352 undi bagi ‘Penyelamatan Terbaik Piala AFC’.

Undian kalangan para pelayar laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com ini, menobatkan penjaga gol Al Faisaly, Lo’ai Al Amaireh sebagai pemenangnya apabila memungut 14,946 undi atau 70 peratus.

Namun jika dibandingkan aksi sesama mereka, tepisan tangan kiri dan daya balas Izham terhadap rejaman deras kaki kanan pemain South China, Bojan Malisic tampak lebih berkualiti dan menonjol apatah lagi dalam menangani sepakan sudut lawan.

Empat pemain kelab Hong Kong itu juga cuba mengasaknya dalam kubu JDT pada minit ketiga perlawanan suku akhir pertama Piala AFC 2015 pada 25 Ogos 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru ini.

Pertembungan itu berkesudahan terikat 1-1 sebelum pasukan dari Malaysia itu mara menerusi kemenangan agregat 4-2 apabila memenangi suku akhir kedua di gelanggang lawan, 3-1.

Kemenangan itu kemudian membawa Sang Harimau Selatan ke separuh akhir seterusnya mencatat sejarah selaku pasukan pertama dari Asia Tenggara yang menjulang Piala AFC dengan menewaskan Istiklol 1-0 di Dushanbe, Tajikistan.

Lo’ai pula dinilai terbaik menerusi tepisan tangan kirinya yang menafikan sepakan penalti Nateq Hezam dari kelab Shaab Al Ibb ke tengah gawangnya dalam perlawanan Kumpulan C Piala AFC 2013.

Bekas penjaga gol Jordan itu tampak sudah menerpa ke sebelah kanan namun tangan kirinya masih sempat menguis bola sepakan pemain kelab Yemen itu.

Kelab Jordan itu kemudian memenangi aksi di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan 2-1 pada 2 April 2013, seterusnya muncul juara kumpulan.

Lain-lain penjaga gol yang diundi ialah Hassan Sunny (Home United lawan Ceres Negros, 2017), Mammet Orazmuhammedov (Altyn Asyr lawan Bengaluru FC, 2018) dan Ali Daher (Al Ahed lawan Manama Club, 2020).

Ali mendapat 12 peratus undi manakala Hassan dan Mammet cuma 1 peratus.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here