Hishammuddin minta maaf hisap vape dalam Dewan Rakyat

    0
    318

    MENTERI Luar, Hishammuddin Hussein membuat permohonan maaf kepada Dewan Rakyat selepas video beliau menghisap vape semasa persidangan menjadi tular di media sosial.

    “Maaf, saya tidak sedar. Ia adalah tabiat baru.

    “Saya minta maaf kepada Dewan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi,” ciapnya di Twitter sebentar tadi.

    Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon berkata beliau akan meneliti gesaan ahli parlimen pembangkang yang mahu Hishamuddin yang juga ahli parlimen Sembrong membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat.

    “Kita ambil maklum dan akan membuat penelitian,” kata Rashid ketika menjawab gesaan Wong Shu Qi (PH-Kluang).

    Terdahulu, Wong meminta Hishamuddin membuat permohonan maaf secara terbuka di Dewan Rakyat.

    “Pengguna media sosial telah Tweet yang YB Sembrong vaping pada Isnin. Menteri Luar Negeri telah mengakui salah.

    “Lebih baik minta YB Sembrong mohon maaf dalam Dewan Rakyat,” katanya.

    Terdahulu, seorang netizen yang dikenali sebagai Mhd Shamin berkongsi sebuah klip video selama 9 saat di Twitter menunjukkan Hishamuddin menghisap vape sambil memakai pelitup muka semasa persidangan sedang berjalan.

    “Adoiii buat hal betul laa,” ciap Mhd Shamin.

    Beliau turut berkongsi video tersebut kepada bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad sambil menulis: “Dr Dzul tengok ini ada orang hisap vape dalam dewan”.

    Sehingga pukul 3.30 petang, video tersebut dilihat lebih 38,700 kali oleh warga maya dan diciap semula sebanyak 800 kali serta menerima lebih 400 komen.

    https://bit.ly/3kj5nJa
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here