Amelina cuba balada pula

0
527
Amelina membuat percubaan merakam lagu balada, Ada Untukmu.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PENYANYI dangdut, Amelina baru saja melancarkan single baharu berjudul Ada Untukmu. Lagu ciptaan Aepul Reza itu merupakan lagu balada pertama yang dirakam oleh Amelina sejak memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada 1994.

Beliau yang popular dengan lagu Rindu dan Asyik itu menjelaskan, merakam lagu Ada Untukmu yang berentak balada itu bukan bermakna telah beralih arah genre muzik.

Sebaliknya, penghasilan Ada Untukmu adalah percubaan terkini daripadanya bagi menguji kemampuan diri sebagai seorang penyanyi.

“Bukan beralih arah tapi mencuba sesuatu yang baharu. Ini adalah sesuatu yang baharu kerana zaman sekarang peminat tidak fanatik pada satu genre saja tapi mereka akan layan semua lagu.

“Saya mahu peminat yang meminati saya sebagai penyanyi dangdut, dalam masa yang sama meminati apa saja lagu yang saya nyanyikan.  Saya ada hasrat nak rakam lagu balada kerana tak mahu sia-siakan ilmu yang saya belajar sepanjang lapan minggu menyertai Gegar Vaganza,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Ada Untukmu, baru-baru ini.

Mengakui gementar sewaktu proses rakaman kerana komposer menyerahkan 100 peratus kepadanya untuk membentuk lagu tersebut.

“Saya ni memang agak kosong kalau ilmu tentang nyanyian. Benda ini saya belajar dari kosong. Dalam studio, Aepul hanya kata, kak Long buatlah macam mana pun, janji selesa untuk kak Long nyanyi. Dia memberi kebebasan kepada saya untuk membentuk lenggok lagu itu.

Sewaktu pelancaran single Ada Untukmu, baru-baru ini.

“Masalahnya, kalau nyanyi lagu balada sedia ada kita tahulah tapi ini lagu baharu. Bila dia dah beri kepercayaan kepada saya, itu yang saya buat sebaik mungkin. Bukan senang ya untuk saya ubah lenggok dangdut kepada balada, tapi kata orang kalau hendak seribu daya. Saya harap lagu Ada Untukmu ini dapat memikat hati pendengar,” katanya penuh harapan.

Tambah Amelina, lagu Ada Untukmu amat berat untuk beliau dendangkan tatkala mengadakan persembahan kelak. Katanya, selama ini penampilannya di pentas adalah ceria kerana mengikut rentak lagu dangdut.

“Lagu itu sebenarnya sangat berat bagi saya. Selama ini saya buat persembahan dengan gaya ceria tapi bila nyanyi lagu Ada Untukmu, saya perlu sopan santun.

“Bila kita beada di pentas mendendangkan lagu dangdut, orang akan layan gila-gila, tapi bila lagu balada saya terpaksa tarik perhatian orang ramai supaya fokus dengan persembahan saya,” katanya.

Video muzik Ada Untukmu turut menampilkan penyanyi Sham Visa sebagai pasangan lakonnya. Jelas Amelina, pemilihan Sham untuk video muzik tersebut adalah secara tidak sengaja.

Katanya, ikut perancangan asal untuk video muzik tersebut, beliau akan muncul dengan anak-anak tapi  ditukar kerana sebelum ini mereka telah bersama untuk lagu Janda Anak Enam.

“Sebenarnya awal tu bukan Sham tapi saya dengan anak-anak. Tapi kemudian tukar sebab sebelum ini lagu Janda Anak Enam, kisah saya dengan anak-anak juga.

“Jadi untuk berlaku adil kepada peminat, kami bincang untuk buat kisah suami isteri atau percintaan sepasang kekasih. Klip video itu berkisar tentang isteri meninggal tapi suami masih tidak boleh move on.  Disebabkan jalan cerita begitu, maka Sham dipilih untuk bergandingan.

“Saya kena cari pasangan yang umurnya lebih kurang dengan saya. Kebetulan Sham nampak sesuai dan kami dah biasa dan nampak natural. Kalau dengan orang lain mungkin saya akan nampak malu-malu,” jelasnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here