Konsert Kita Merdeka 2020 Wings, 29 Ogos ini

0
1099

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

GARA-GARA pandemik Covid-19, segala yang dirancang tidak menjadi. Namun kita semua tetap kena berusaha untuk meneruskan kehidupan. Tatkala musibah melanda, tiba-tiba ada saja rezeki yang mendatang.

Bagi kumpulan Wings peluang menjayakan Konsert Kita Merdeka 2020, pukul 7.30 malam, 29 Ogos ini merupakan satu rezeki dan pengalaman baharu.

Konsert anjuran Sonic Minds Sdn. Bhd., adalah penampilan pertama kali kumpulan legenda rock itu mengadakan persembahan tanpa penonton di hadapan pentas.

Persembahan tanpa penonton samalah seperti membuat live dari Instagram atau Facebook yang ditonton oleh peminat setiap kali seseorang selebriti itu bersiaran tanpa dikenakan bayaran.

Namun kali ini Wings mengadakan siaran langsung secara virtual dalam talian menerusi Live Streaming di www.wingskitamerdeka.liveframe.my secara berbayar.

Dari segi persediaan untuk persembahan bukan masalah kepada Datuk Awie selaku vokalis Wings dan rakan-rakan kerana itu adalah kepakaran mereka.

Wings akan menjayakan Konsert Kita Merdeka pada 29 Ogos ini secara virtual.

Malah mereka teruja untuk menjayakan konsert yang julung kali menampilkan mereka dengan cara begitu.

“Kami teruja untuk menjayakan konsert sebegini kerana ini adalah satu pengalaman baharu buat kami. Tiada bezanya, antara persembahan di hadapan penonton atau penonton di rumah.

“Sebagai artis yang akan mengadakan persembahan, saya akan pastikan kesihatan baik dan peminat terhibur dengan persembahan norma baharu ini,” katanya yang mendapat tawaran daripada penganjur untuk menjayakan konsert tersebut pada Jun lalu.

Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman berkata, tawaran yang diberikan oleh penganjur agak lewat tapi Wings tetap terima kerana mereka bakal menjadi pembuka jalan sebelum kumpulan lain menjayakan konsert yang sama.

“Sebelum ini kami ada dapat tawaran untuk buat konsert secara live di Facebook tapi belum bersedia. Bila tawaran daripada Sonic Minds, kami terima selepas melihat kredibiliti mereka menjayakan beberapa konsert besar sebelum ini.

“Wings tidak sabar untuk menjayakan konsert ini kerana tahun ini juga merupakan ulang tahun penubuhan Wings yang ke-35. Dengan harga tiket serendah RM35, peminat boleh menonton di rumah secara santai bersama ahli keluarga,” katanya.

Tiket untuk menonton Konsert Kita Merdeka 2020 secara virtual boleh dibeli di www.galactix.asia.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here