Sekawan lembu ‘bingung’ terkandas di bumbung lepas bah surut

0
357

PELIK… Beberapa ekor lembu ternakan didapati ‘terperangkap’ di atas bumbung kediaman milik penduduk setelah mereka dihanyutkan arus banjir terburuk di Korea Selatan pada 10 Ogos lalu.

Situasi aneh tersebut turut cetus masalah kepada petugas yang mahu menyelamatkan mamalia bersaiz besar itu semasa ditemui di Gokseong, wilayah Jeolla, 170 kilometer dari ibu kota Seoul.

Kumpulan sembilan ekor lembu tersebut dipercayai hanyut ketika kemuncak banjir pada hujung minggu di Gurye, bandar perladangan di selatan negara itu dan ‘bergelut’ cari tempat selamat.

Ternakan itu mujur berjaya ‘mendarat’ di bumbung beberapa buah rumah serta bangunan lain, namun setelah air bah surut, haiwan itu terkandas di tempat tinggi dan dalam keadaan dilema.

Media tempatan menyiarkan gambar-gambar yang menunjukkan lembu terbabit ‘mundar-mandir’ di bumbung dan mereka kelihatannya dalam situasi kebingungan untuk cari jalan turun ke darat.

“Lembu ini berenang ketika paras air naik dan selamat berlindung di atas bumbung, tetapi tidak dapat ke mana-mana waima setelah banjir reda,” kata seorang penduduk kepada wartawan.

Pasukan penyelamat kemudian datang membawa sebuah kren untuk angkut lembu tersebut turun satu persatu dari atas bumbung itu dengan guna tali kabel yang diikat pada badannya.

Meskipun berjaya diselamatkan dan kembali pulang ke tempatnya, banyak lembu tersebut didapati menunjukkan gejala sakit pneumonia, menurut sukarelawan bahagian veterinar.

Banjir teruk ekoran hujan luar biasa sejak 1 Ogos lalu mengakibatkan lebih 30 maut dengan separuh mangsa dilapor terbunuh akibat tanah runtuh susulan taufan Jangmi minggu lepas.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here