Titik panas baharu Covid-19 muncul di AS, jumlah jangkitan global 20 juta

0
349

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

SEKURANG-kurangnya 20 juta orang di serata dunia didapati positif Covid-19.

Menurut John Hopkins University angka terbaharu ini muncul selepas sebulan jangkitan di seluruh dunia melebihi paras 10 juta kes dengan lebih 733,000 kematian.

Menurut laporan Huffpost, Amerika Syarikat mendahului dengan lebih 5 juta kes sahih dan lebih daripada 163,000 kematian, justeru menjadikan statistik di negara itu merangkumi kira-kira satu perempat daripada keseluruhan jumlah kes Covid-19 di dunia.

Brazil berada di tempat kedua dengan lebih tiga juta kes dan angka kematian melepasi 101,000.

Menurut pangkalan data akhbar The New York Times (NYT), AS menyaksikan hampir 48,000 kes terbaharu pada 3 Ogos dengan jumlah terbanyak dicatatkan di bahagian selatan negara itu.

Dalam pada itu beberapa negeri di AS terus membuka semula aktiviti ekonomi dan persekolahan walaupun jumlah kes melonjak begitu tinggi sejak Jun lalu.

Bagi rakyat AS walaupun akur bahawa pihak berkuasa negara itu masih bergelut untuk mengekang penularan wabak Covid-19, data menunjukkan bahawa mereka semakin yakin negara-negara lain menangani pandemik itu dengan cara lebih baik dan berkesan.

Kajian HuffPost/YouGov mendapati 46% rakyat AS berpendapat bahawa prestasi pihak berkuasa di negara itu menangani Covid-19 adalah lebih teruk berbanding negara-negara lain.

Sebahagian besar pemimpin dunia berkongsi sentimen yang sama hingga pihak Kesatuan Eropah (EU) telah mengenakan sekatan sementara ke atas sesiapa yang tiba dari AS walaupun banyak negara EU sudah mula membuka sempadan kepada ketibaan antarabangsa.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata awal bulan ini bahawa usaha untuk menghentikan kemaraan jangkitan Covid-19 bergantung pada asas, tahap amalan kesihatan dan kawalan penyakit.

Beliau berkata setakat ini belum ada penawar bagi memusnahkan virus tersebut selain mengekang jangkitan melalui ujian, pengasingan, merawat pesakit dan mengamalkan penjarakan, pemakluman, memperkasa dan mendengar suara hati masyarakat.

Menurut pangkalan data NYT lagi, negara-negara di Asia, Amerika Latin dan Eropah, termasuk India, Iran, Brazil, Mexico, Colombia, Sepanyol dan United Kingdom sejak kebelakangan ini menyaksikan kenaikan jumlah kes baharu bagi setiap kapita.

Di UK, tekanan popular terhadap dasar yang dilihat bercanggah di antara keperluan politik, ekonomi dan keselamatan orang ramai telah menyaksikan Perdana Menteri Boris Johnson menunda rancangan untuk melonggarkan perintah ‘lockdown’ di England bermula daripada 1 Ogos sehingga 15 Ogos bagi tujuan mengawal penularan virus berkenaan.

Keputusan yang dibuat oleh Johnson itu menyusul setelah Pejabat Statistik Kebangsaan England melaporkan peningkatan jumlah ujian Covid-19 yang didapati positif.

Beliau berkata UK tidak boleh mengambil ringan keadaan semasa kerana peningkatan kes Covid-19 di serata dunia adalah sesuatu yang ketara dan serius.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here