Atlet hoki calon pilihan Anugerah Sukan UPM 2020

0
630

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

ATLET-ATLET hoki kebangsaan menguasai empat daripada lapan pencalonan Olahragawan dan Olahragawati dalam Majlis Anugerah Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-36/2020 di Dewan Kolej Canselor universiti itu, Serdang, Selangor esok.

Dua daripadanya ialah tonggak skuad lelaki negara, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang juga pemenang 2018 dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan manakala Hanis Nadia Onn dan Ellya Syahirah Ellias merupakan anggota skuad wanita Malaysia.

Mempertaruhkan pencapaian terbaik membantu Malaysian Tigers bergelar naib juara Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019 di Kuala Lumpur, Syafiq dan Najmi disaingi hebat penembak negara, Muhamad Lutfi Othman.

HANIS Nadia Onn, pemain hoki wanita negara.

Kedua-dua penuntut Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Komunikasi UPM ini juga menganggotai skuad yang menduduki tempat ketiga Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah Ke-28 di Ipoh, Perak tahun lalu.

Lutfi, juga penuntut Sarjana Muda Komunikasi UPM pula bersandarkan pencapaian terbaiknya, dua pingat emas individu dan berpasukan Kejohanan Menembak Asia Tenggara 2019 dalam acara 50 meter prone.

Bagi persaingan Olahragawati UPM, Hanis dianggap calon terdekat untuk meraihnya menerusi pencapaian tempat ketiga bersama Malaysian Tigress pada Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Banbridge, Ireland Utara, Jun tahun lalu.

Selain Ellya dengan pingat emas Sukan SEA Filipina, November 2019, calon pesaing yang tidak kurang sengitnya termasuk pemenang acara lompat tinggi olahraga temasya dwitahunan edisi ke-30 itu, Yeap Sean Yee.

NORLIYANA Kamaruddin, Olahragawati UPM 2017.

Hanis dan Ellya juga merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi sementara Sean Yee dalam jurusan Sains Pembangunan Sumber Manusia UPM.

Dua lagi calon, Norliana Kamaruddin yang meraih pingat perak heptatlon olahraga Sukan SEA sama dan perenang negeri, Angela Chieng Chui Fei yang memenangi lapan pingat emas dan dua perak Kejohanan Master Malaysia Keenam.

Norliana juga merupakan Olahragawati UPM 2017 selain penuntut Sarjana Sains Sukan Fakulti Pengajian Pendidikan sementara Angela dalam jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Fakulti Kejuruteraan UPM.

Satu lagi kategori yang turut dipertandingkan ialah Anugerah Bintang Harapan Lelaki dan Wanita UPM melibatkan empat calon kesemuanya.

Olahragawan dan Olahragawati UPM 2020 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan dan iringan, jaket, jam tangan, sijil dan baucar barangan sukan.

PEMENANG LALU

OLAHRAGAWAN UPM
1996: Sheikh Nazarudin Sheikh Talib (ragbi)
1997: Roestam Affendi Sijar (ragbi)
1999: Teoh Bong Lim (olahraga)
2000: Tan Kok Lim (olahraga)
2001: Teh Weng Chang (olahraga)
2002: Suresh Moorty (olahraga)
2003: Mohd. Azman Nasarudin (sepak takraw)
2004: Mohd. Robani Hassan (olahraga)
2005: Nazmizan Mohammad (olahraga)
2006: Mohd. Azlan Abdul Mubin (sepak takraw)
2007: Mohd. Shukri Abdul Mutalib (hoki)
2008: Mohd. Robani Hassan (olahraga)
2009: Mohd. Zafril Mohd. Zuslaini (olahraga)
2010: Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (hoki)
2011: Mohamad Kaharuddin Ashah (memanah)
2012: Mohd. Razie Abd. Rahim (hoki)
2013: -Tidak dianjurkan-
2014: Ivan Yuen Chee Wern (skuasy)
2015: Muhammad Hakimi Ismail (olahraga)
2016: Johnathan Wong Guangjie (menembak)
2017: Johnathan Wong Guanjie (menembak)
2018: Syed Mohd Syafiq Syed Cholan (hoki)

SYED Mohamad Syafiq Syed Cholan cuba mempertahankan gelaran Olahragawan UPM, esok.

OLAHRAGAWATI UPM
1996: Lim Poh Hong (bola tampar)
1997: Woon Siew Gian (olahraga)
1999: Bibiana Ng Pei Chin (menembak)
2000: Noraseela Mohd. Khalid (olahraga)
2001: Moh Siew Wei (olahraga)
2002: Beh Lee Fong (pingpong)
2003: Noraseela Mohd Khalid (olahraga)
2004: Chitra Devi Arumugam (hoki)
2005: Noorsaliza Ahmad Soobni (hoki)
2006: Beh Shun Ting (bola tampar)
2007: Beh Shun Ting (bola tampar)
2008: Roslinda Samsu (olahraga)
2009: Roslinda Samsu (olahraga)
2010: Nor Jannah Hafiszah Jamaluddin (olahraga)
2011: Siti Munirah Jusoh (skuasy)
2012: Chu Lai Kwan (renang)
2013: -Tidak dianjurkan-
2014: Zulhijjah Azan (skuasy)
2015: Saritha Cham Nong (memanah)
2016: Saritha Cham Nong (memanah)
2017: Norliyana Kamaruddin (olahraga)
2018: Zaidatul Husniah Zulkifli (olahraga)

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here