Peluang Guan Eng buktikan dirinya bersih

0
681

Oleh Ahmad Abd Hamid

SEPERTI diduga penangkapan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pertuduhannya di mahkamah berhubung dakwaan rasuah Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang kecoh dengan pelbagai tuduhan dilontarkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh para pembangkang terutamanya pemimpin DAP.

Tangkapan ini terus didakwa bermotifkan politik dan pertuduhan pula disifatkan sebagai ‘pendakwaan terpilih’. Bagi mereka, tindakan didakwa bukan sahaja untuk menutup mulut DAP tetapi juga untuk mendiamkan pembangkang secara keseluruhannya.

Pihak DAP juga mempersoalkan kenapa isteri Setiausaha Agung DAP itu, Betty Chew, turut ditahan dan didakwa. Pada mereka, tindakan ini menyerlahkan apa yang dilakukan terhadap Guan Eng dan isteri berupa dendam politik.

Namun itu luahan rasa DAP. Di pihak SPRM, pasti mereka sendiri ada alasan dan bukti yang cukup kukuh untuk berbuat demikian. Tambahan pula SPRM hanya melakukan siasatan dan keputusan untuk membuat pendakwaan bergantung kepada pejabat peguam negara.

Persepsi seperti ‘ saya dijadikan mangsa’ bukanlah luar biasa apabila suspek melibatkan tokoh politik, baik di pihak kerajaan atau pembangkang. Begitulah jika terkena pada batang hidung sendiri, ia akan dikatakan konspirasi politik dan jika sebaliknya, ia anggap tindakan yang wajar dan tepat.

Dalam mana-mana kes rasuah, termasuk terbaharu melibatkan Guan Eng, tentunya SPRM melakukan siasatan yang sebaik-baiknya dan disokong dengan bukti-bukti kukuh untuk membawa suspek ke muka pengadilan. Sehubungan itu, semua pihak harus menghormati fungsi SPRM sebagai sebuah badan bebas dalam mengendalikan kes-kes rasuah.
Tuduhan bahawa SPRM tidak bebas sepenuhnya perlu dibuktikan. Begitu juga tuduhan campurtangan tangan-tangan ghaib yang dikatakan wujud atau berhentilah daripada membuat tohmahan. Kita mengharapkan agensi penting itu tetap mempertahankan kredibiliti dan integritinya sebagai badan bebas dan terus disokong oleh rakyat yang bencikan rasuah.

Kenapa perlu lagi dipersoalkan penegasan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki, pihaknya bertindak tanpa pilih kasih atau campur tangan.
Bukankah sebelum Guan Eng pun ramai tokoh politik ditahan SPRM dan kes dibawa ke mahkamah, termasuk kes Najib Razak yang telah dijatuhi hukuman penjara dan denda. Justeru Guan Eng bukan kes pertama. Tidak timbul motif politik dalam kes-kes ini.

Jika benar tidak bersalah, suspek boleh pertahankan diri di mahkamah. Ini merupakan medan terbaik untuk mencari kebenaran. Biarlah mahkamah mengadili siapa yang benar atau sebaliknya. Begitulah halnya dalam kes Guan Eng.

Tidak perlulah mereka yang didakwa sibuk untuk membuat kenyataan di luar mahkamah terutamanya penyokong mereka.

Inilah peluang Guan Eng membersihkan nama. Dia akan diberi sepenuh kebebasan membuktikan tuduhan ke atasnya tidak benar. Dia juga mampu memilih barisan pembelaan yang berkaliber kerana terdapat peguam DAP yang handal-handal seperti Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh. Pasti mereka akan membelanya berhabis-habisan.

Justeru itu, biarkan proses perundangan menentukan haluannya. Lagi pun bercakap macam-macam di luar mahkamah tidak bermanfaat. Luahkan apa yang hendak diluahkan ketika perbicaraan. Kata peribahasa ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’!

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here