AC Mizal kendali program komedi baharu

0
474
AC Mizal terus mendapat kepercayaan Astro untuk jadi hos program komedi baharu.

PROGRAM Suara Viral yang mengangkat Farah Noorasikin Abdul Rahim sebagai juara telah berakhir pada 5 Ogos lalu.

Namun tugas hos program tersebut, Datuk AC Mizal tak berakhir di situ saja.
Sebaliknya, beliau kini diberi tanggungjawab lain untuk mengendali sebuah lagi program baharu keluaran Astro Warna iaitu Punchline DAC.

Program berbentuk komedi itu akan memulakan siarannya di Astro Warna (127) dan Warna HD (107) pada pukul 9 malam (12 Ogos) ini.

Program yang menjanjikan pengalaman tontonan ‘gelak tidak henti’ ini juga boleh distrim secara percuma bagi pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO dan juga on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Punchline DAC bakal menyaksikan AC Mizal sebagai hos untuk 24 minggu berturut-turut. Dalam program berdurasi 60 minit ini, beliau akan menemu bual tokoh-tokoh masyarakat popular tanah air seperti pelakon, penyanyi, pemuzik, pelawak, pengarah dan ramai lagi.

Bersama Khalid Jamlus yang merupakan salah seorang tetamu program Punchline DAC.

Selain itu, turut ditonjolkan pelbagai jenis aktiviti seperti trivia, sketsa dan elemen-elemen game show yang bakal diterapkan bagi hiburan audiens.

Menarik lagi, juru solek dan penghibur, PS Mansur juga turut memeriahkan lagi set Punchline DAC ini dengan celoteh lucunya (melatah) sebagai sidekick kepada AC Mizal.

Antara barisan selebriti yang bakal mewarnai program Punchline DAC ini termasuklah maestro muzik Datuk Ramli MS, pemain bola sepak Khalid Jamlus, pelakon Sharifah Amani, kumpulan Dollar, peserta Big Stage 2020, dan ramai lagi.

Bermula malam ini, AC Mizal akan menghibur penonton dengan aksinya yang selamba.

Sementara itu, Ketua Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd. Salleh berkata, selaku peneraju kandungan komedi utama tanah air, penghasilan program Punchline DAC merupakan salah satu usaha pihaknya untuk sentiasa menyajikan penonton Astro Warna dengan pengisian menarik dan menghiburkan.

“Kami juga amat teruja kerana sekali lagi dapat bekerjasama dengan seorang pengacara yang disegani ramai, Datuk AC Mizal. Beliau cukup sinonim dengan sikap profesionalnya, dan kami amat bertuah kerana sentiasa diberikan peluang untuk menghasilkan pelbagai seleksi program lawak penuh variasi bersamanya.

“Kami berharap program Punchline DAC ini boleh mengukuhkan lagi jenama Astro Warna sebagai hab kandungan komedi tanah air yang digemari ramai,” katanya penuh harapan.

Tambahnya, bagi yang mahu terus bergelak ketawa, mereka boleh menonton siri vlog Pintu Belakang di saluran YouTube rasmi Zon Lawak.

“Jika anda menonton YouTube rasmi Zon Lawak ini, anda akan diberikan pas eksklusif yang menunjukkan momen-momen istimewa di sebalik tabir penghasilan dan rakaman program Punchline DAC dari Studio 1 di Astro,” jelasnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here