Usop sertai Big Stage supaya orang kenal

0
627

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BILA tanya Usop kenapa nak sertai program Big Stage, sedangkan beliau merupakan pemenang kedua untuk rancangan realiti Mentor Milenia 2017.

Jawapan yang diberikan oleh Usop atau nama penuhnya, Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor, 23, amat menyentuh hati pada yang mendengar.

“Pilih untuk sertai Big Stage sebab saya ni kan macam kurang sikit.  Apa salahnya saya cuba, mana nak tahu ini rezeki saya. Masa Mentor, saya tak juara. Mana tau masuk ni tiba-tiba juara, rezeki.

Single Selamanya nyanyian Usop mendapat tontonan tinggi di YouTube.

“Tidak dinafikan program Mentor menaikkan nama saya walaupun dapat tempat kedua, tapi ada sesetengah orang cakap saya ni artis kampung. Jadi saya nak buktikan dekat orang yang kata saya begitu bahawa saya bukan artis kampung. Dengan Big Stage saya nak bukti kat orang bahawa Usop bukan biasa-biasa,” katanya penuh semangat.

Usop adalah di antara 12 peserta yang dipilih untuk memulakan cabaran program Big Stage 2020 pada 16 Ogos ini yang akan bersiaran dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104).

Penyanyi yang popular dengan lagu Selamanya dan Aku Yang Bersalah itu berharap penyertaannya dalam Big Stage dapat menaikkan namanya dalam industri seni tanah air.

“Saya bersyukur kerana single saya sebelum ini disukai ramai dan kalau boleh, saya nak orang lebih kenal saya. Sekurang-kurangnya bila saya masuk Big Stage ni, macam-macam ada. Ada kelas vokal sebab saya tak pernah belajar kelas vokal.

“Jadi ini adalah peluang yang terbaik untuk saya sertai. Saya tak berharap, saya nak buat yang terbaik saja. Sebab orang pun rindu nak tengok saya bertanding. Inilah masanya, sebab Covid-19, show pun tak berapa ada,” katanya terus terang.

Jelasnya, sudah lama beliau berhasrat untuk menyertai program yang pernah mengangkat Sarah Suhairi dan Han Byul sebagai juara itu dan bersyukur kerana mendapat tawaran untuk menyertai Big Stage.

“Sebenarnya sudah lama saya nak sertai program ini sebab saya tengok kawan-kawan banyak yang berjaya bila masuk Big Stage. Macam tahun lepas saya tengok ada yang tarik diri, saya tertanya kenapalah bukan aku yang dapat.

“Alhamdulillah, tahun ini pihak Astro tawar saya untuk sertai program yang bakal berlangsung selama lapan minggu itu,” katanya yang merupakan artis naungan Rocketfuel Entertainment.

Usop mahu buktikan yang beliau bukan penyanyi kampung seperti yang dilabel oleh sesetengah pihak.

Tambahnya, kalau bukan kerana Rocketfuel mengambilnya menjadi artis naungan mereka, tak mungkin beliau akan berada dalam industri seni ini.

“Saya sekarang bawah Rocketfuel. Kalau bukan kerana Rocketfuel saya tak akan ada dalam industri ini. Lagu Aku Yang Bersalah adalah projek pertama saya dengan Rocketfuel. Lagu Aku Yang Bersalah ni, Haqiem Rusli dan Fareez Fauzi buat.

“Alhamdulillah, lagu itu pun dah 15 juta tontonan di YouTube, ada trending dan lepas tu keluar pula lagu Selamanya, ciptaan Akim Ahmad dan Ziin yang juga trending nombor satu. Itulah rezeki,” katanya yang cerewet bila memilih lagu untuk rakaman.

Tegas Usop, beliau tidak kisah bekerjasama dengan mana-mana komposer kerana yang mustahak kena dengar lagu tersebut terlebih dahulu sebelum bersetuju.

“Saya kena dengar dan kalau okey baru boleh terima. Saya takut tak kena dengan saya sebab saya kan macam kampung-kampung sikit, berjiwa rakyat. Jadi orang sukalah dengar lagu leleh ni,” katanya merendah diri.

Dari program Mentor Milenia 2017, Usop beralih kepada rancangan Big Stage 2020 untuk mencuba nasib.

Selain menyanyi, Usop juga dikenali sebagai tauke nasi kandar sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Jelas Usop, beliau yang kebetulan berada di kampung, Taman Sejahtera, Lunas, Kedah tidak malu untuk membantu ibunya berniaga nasi kandar.

“Sepanjang PKP, saya tolong mak berniaga nasi kandar kat rumah saja. Walaupun buat dari rumah, orang ramai tau, tu yang viral. Sebenarnya mak saya dah lama niaga nasi kandar, sebelum saya jadi penyanyi lagi.

“Dulu ada kedai, tapi orang dengki kan nak buat macam mana. Biasalah manusia, tak semuanya sempurna, ada naik ada jatuh. Syukur sepanjang kami berniaga, masakan mak saya disukai ramai terutamanya menu kari, daging hitam dan ayam masala.

“Mana nak tau lepas masuk Big Stage ni, rezeki saya lebih. Saya ingat nak buka kedai bagi hadiah untuk mak ayah saya,” katanya jujur.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here