Fadh Majid, qari jadi penyanyi

0
732
Fadh Majid sudah bersedia untuk tunjuk bakatnya dalam program Big Stage, Ahad ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SURUHLAH beliau menyanyi lagu berentak balada, R & B atau tradisional, semua boleh. Kalau tak percaya tengoklah Fadh Majid menyanyi pelbagai rentak lagu popular Malaysia dan Indonesia di Instagram (@fadhmajid).

Bukan setakat menyanyi, kalau kita suruh pemuda yang berasal dari Melaka ini mengaji al-Quran pun boleh. Bukan setakat mengaji biasa-biasa ya tapi siap dengan taranum sekali.

Jangan pandang sebelah mata pada Fadh ini kerana sebelum terpilih menjadi peserta Big Stage 2020, beliau telahpun menjadi juara untuk Tilawah Kebangsaan 2005 dan Bintang Asli Melaka.

Malah Fadh atau nama sebenarnya, Muhd. Fadhlullah Abd. Majid, 27, itu juga pernah menyertai pertandingan Bintang Asli RTM dan Bintang Klasik.

Fadh yang merupakan adik kepada peserta program Akademi Fantasia musim ke-9, Fahrur Raqib itu berkata, beliau sering menyertai pertandingan lagu-lagu klasik kerana rentak sebegitu sukar dibawa.

Bukan setakat menyanyi Fadh Majid juga boleh membaca al-Quran dengan baik sekali.

“Saya sertai pertandingan lagu-lagu klasik sebab saya dilahirkan zaman begitu dan saya minat sebab seni lagu-lagu dulu bukan mudah untuk kita buat pada zaman sekarang.

“Bila dah biasa menyanyikan lagu-lagu tradisional, saya tiada masalah untuk menyanyikan irama lain. Sebab itulah dalam Instagram saya suka nyanyi pelbagai rentak. Satu untuk menguji kebolehan diri dan kedua agar orang yang tengok tak jemu,” katanya yang baru saja tampil dengan single pertama, Bukan Takdirku.

Jelas Fadh, Bukan Takdirku yang berentak balada R & B itu adalah ciptaannya. Sejak dilancarkan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini jumlah tontonan telah melebihi 523,000.

“Saya syukur, alhamdulillah, bila ditawar sertai Big Stage. Mungkin kali ini peluang saya untuk bersinar lebih cerah lagi dengan berkat doa mak ayah serta adik beradik saya. Saya harapkan sokongan daripada semua orang.

“Di Instagram saya suka cover lagu Malaysia dan Indonesia semua rentak. Saya dah bersedia untuk Big Stage sebab saya tak ada masalah dari segi genre, semua rentak saya boleh nyanyi, insya-Allah,” akuinya.

Tatkala ditanya, antara mengaji dan menyanyi, mana yang susah untuk dilakukan? Kata Fadh, beliau tidak ada masalah untuk melakukan kedua-dua perkara tersebut kerana apa yang penting adalah disiplin.

Fadh Majid antara 12 peserta Big Stage 2020.

“Bagi saya tak susah sebab ia memerlukan disiplin yang tinggi untuk kita pisahkan mengaji dengan menyanyi. Bila mengaji kena suara begini dan begitu juga dengan menyanyi.

“Kadang-kadang, orang yang mengaji ni bila menyanyi, dia akan bunyi macam nasyid sikit. Kalau boleh saya tak nak itu berlaku, jadi saya kena rajin berlatih,” katanya yang meminati penyanyi Datuk M.Nasir dan Michael Bolton itu.

Pembantu gurulatih silat seni gayung itu berkata, kalau diizinkan Allah, beliau mahu aktif dalam bidang nyanyian dan sebagai qari kerana mahu seimbangkan kegiatan dunia dan akhirat.
Fadh akan menunjukkan kebolehannya untuk minggu pertama konsert Big Stage pada 16 Ogos ini yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) pada pukul 9 malam dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here