Kelayakan ditunda lagi: Harimau Malaya kena ‘simpan kuku’ balik

0
444
HARIMAU Malaya terpaksa menyimpan kuku semula kerana FIFA dan AFC menunda Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Oktober ini ke tahun depan.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

DITUNDA lagi, buat kali kedua!

BAKI perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya disambung semula Oktober ini, terpaksa dijadualkan semula pada 2021.

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya turut masih bersaing merebut tiket pusingan akhir di Qatar dan China ini dengan menghuni tempat kedua Kumpulan G di belakang Vietnam dan mengatasi Thailand, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.

Penundaan ini diumumkan dalam siaran media dua perenggan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada laman sesawang rasminya, hari ini.

“Memandangkan situasi semasa Covid-19 di kebanyakan negara, FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan AFC secara bersama memutuskan bahawa perlawanan-perlawanan kelayakan akan datang yang mulanya dijadualkan berlangsung dalam takwim perlawanan antarabangsa pada Oktober dan November 2020, akan dijadualkan semula ke 2021.

“Demi matlamat melindungi kesihatan dan keselamatan semua peserta, FIFA dan AFC akan terus berganding bahu untuk memantau rapat situasi di benua ini dan mengenal pasti tarikh-tarikh baharu bagi perlawanan-perlawanan kelayakan berkenaan.

“Butiran lanjut mengenainya akan diumumkan apabila tiba masanya.”

Kedua-dua badan induk itu sebelum ini pernah menunda jadual kelayakan tersebut pada Mac dan Jun lalu.

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada 30 Julai lalu, mengumumkan penundaan Piala AFF 2020 ke April 2021 yang turut disertai skuad Tan Cheng Hoe ekoran penularan pesat semasa Covid-19 di rantau Asia Tenggara.

Jika menurut kalendar pertandingan dan perlawanan antarabangsa FIFA, paling awal jadual baharu kelayakan itu ialah mungkin Mac 2021 dan paling lewat pun November 2021. Terdapat juga ruang pada Jun, September dan Oktober bagi mengisinya, bergantung kepada situasi semasa Covid.

Sebelum ini jadualnya ialah Harimau Malaya akan menentang UAE di Dubai pada 8 Oktober, melayani Vietnam di ‘kandang’ sendiri dan bertandang ke Thailand, 17 November.

AFC juga berkemungkinan besar, terpaksa menjadualkan semula Liga Juara Asia (ACL) 2020 yang sepatutnya disambung Oktober ini termasuk melibatkan wakil tunggal negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam baki saingan Kumpulan G.

JDT diberikan kelebihan gelanggang sendiri apabila Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru dipilih sebagai venue berpusat Kumpulan G dan H Zon Timur ACL.

Sudah mengutip tiga mata, Harimau Selatan dijadualkan menyambung aksinya dengan Guangzhou Evergrande (17 Oktober dan 1 November), Suwon Samsung Bluewings, Korea Selatan (23 Oktober) dan Vissel Kobe, Jepun (29 Oktober).

Tidak ketinggalan mungkin ditunda ialah Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober di mana skuad remaja negara diundi dalam Kumpulan D dengan Qatar, Tajikistan dan Yemen.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here