Olahragawan UiTM 2019 disaingi sengit tiga penjuru

0
585
TROFI Olahragawan dan Olahragawati dalam Majlis Anugerah UiTM 2020, esok.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

MAJLIS Anugerah Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2020 di Shah Alam, Selangor, esok bakal menyaksikan persaingan sengit tiga penjuru bagi Olahragawan manakala hanya seorang calon yang tampak berpeluang cerah untuk bergelar Olahragawati UiTM 2019.

Tiga calon Olahragawan itu ialah Syed Akmal Fikri Syed Ali, pemenang pingat emas triples petanque Sukan SEA Filipina 2019, Daeng Dhadyry Dahasry, pemenang acara fours boling padang temasya ke-30 itu dan Muhammad Ezuan Nasir Khan yang meraih emas berpasukan Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Jakarta.

Ketiga-tiganya juga merupakan penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM sementara sebutir emas acara fours boling padang Sukan SEA Filipina dan perak Kejohanan Asia di China meletakkan Nur Ain Nabilah Tarmizi juga dari fakulti sama, sukar dicabar enam calon lain Olahragawati.

Antara yang bersaing bagi Olahragawan UiTM termasuk Muhammad ‘Aqil Yasmin yang pernah beraksi dalam olahraga Sukan Universiti Dunia, Anwarul Hafiz Ahmad, pemenang perak ragbi Sukan SEA 2019 dan Ahmad Azfaruddin Lukman (kayak).

Namun pemain catur, Nabila Azman Hisham, dijangka masih mampu menggugat Ain dengan pencapaian pingat emas berpasukan Sukan Universiti ASEAN 2019 di samping Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, pemenang gangsa doubles petanque Sukan SEA dan Rozliana Mohd. Ridwan, pemenang gangsa ragbi temasya sama.

Lain-lain pesaing ialah Nurul Farah Alisa Roslan yang mempertaruhkan pingat gangsa Kejohanan Taekwondo ATF di Filipina, Faradiba Tugiman iaitu juara Kejohanan Silat Antarabangsa dan atlet kayak, Aimi Ayuni Azwan.

Majlis penyampaian anugerah di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam ini turut buat julung-julung kalinya disiarkan secara maya melalui UiTM Channel YouTube mulai pukul 3 petang esok.

Anugerah tahunan ini bertujuan memberi pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen para atlet dan pegawai yang telah mengharumkan nama UiTM sehingga mencapai kecemerlangan di arena sukan peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Siaran media UiTM semalam, menyebut: “Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Prof. Emeritus Datuk Mohd. Azraai Kassim selaku Naib Canselor UiTM.

“Beberapa lagi kategori Anugerah Sukan UiTM bakal disampaikan kepada para atlet dan pegawai UiTM sepanjang tahun lalu antaranya Anugerah Dewan Terbilang, Anugerah Emas, Perak dan Gangsa Universiti, Anugerah Khas Universiti, Anugerah Sijil Penghargaan, Pasukan Cemerlang, Pengurus Cemerlang, Jurulatih Cemerlang, Tokoh Sukan UiTM dan Tokoh Sukan Alumni.

“Jawatankuasa Pemilihan anugerah yang dipengerusikan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM menerima 225 pencalonan bagi kategori-kategori yang dipertandingkan,” lapor siaran berkenaan.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here