Tudung Bawal Exclusive termahal di dunia

    0
    308

    Oleh KHADIJAH IBRAHIM

    DULU Haliza Maysuri berjaya menjual tudung berharga RM50,000 kepada seorang ahli perniagaan, sekarang ini beliau memiliki tudung mewah bernilai RM100,000 tapi enggan menjual kepada orang lain.

    Kata Haliza, tudung bertakhta 7,512 butir kristal Swarovski dalam pelbagai saiz dan warna itu bukan untuk jualan kerana tudung mewah bersaiz 1.14 meter X 1.14 meter tersebut adalah pemberian pihak Swarovski kepadanya. Sekali gus mendapat pengikhtirafan sebagai tudung termahal di dunia oleh Malaysia Book of Records.

    Haliza Maysuri di samping tudung bernilai RM100,000 pemberian pihak Swarovski kepadanya.

    “Tudung ini sebenarnya adalah hadiah terbesar daripada Swarovski kepada Bawal Exclusive disebabkan kami antara pemborong terbesar kristal Swarovski di dunia. Pihak Swarovski ada bertanya kepada saya, apa yang saya mahu?

    “Saya kata, saya impikan kegemilangan dan kemewahan kilauan Swarovski  pada tudung Bawal Exclusive. Tudung ini daripada pihak Swarovski untuk dihadiahkan kepada Bawal Exclusive sempena pembukaan butik private lounge yang baharu di Bukit Puchong kelak.

    “Alhamdulillah, hari ini Bawal Exclusive telah melakar sejarah, menerima penghargaan yang sangat besar daripada Swarovski. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan Swarovski kerana telah merealisasikan impian saya,” katanya berkongsi kegembiraan dengan pihak media pada majlis memperkenalkan tudung termahal di dunia hari ini (13 Ogos).

    Menerima penghargaan daripada The Malaysia Book of Records sebagai tudung paling mahal di dunia.

    Menurut Haliza, pihak Swarovski mengambil masa selama 320 jam dengan 12 tenaga kerja untuk menyiapkan tudung mewah yang menggunakan fabrik viale yang diimport dari Jepun itu.

    Beliau yang dijangka akan membuka butik mewah di Puchong pada awal September ini berkata, butik tersebut turut dihiasi dengan kristal Swarovski.

    “Saya buat butik semewah mungkin macam suasana sewaktu saya menghadiri majlis anjuran Swarovski di Austria pada 2018. Saya akan jemput media untuk menyaksikan sendiri satu-satunya butik mewah di dunia saya rasa, yang bertakhtakan kristal Swarovski 100 peratus. Insya-Allah semoga Allah permudahkan.

    “Tidak semua orang boleh masuk butik ini kerana di dalamnya kita ada pamerkan 12 helai tudung mewah Bawal Exclusive yang bernilai puluhan dan ratusan ribu.

    Haliza bercadang untuk mempamerkan tudung yang sarat dengan kristal Swarovski ini di butik premium Bawal Exclusive di seluruh negara.

    “Butik ini dibuka khas untuk pelanggan VVIP kerana mereka suka privasi. Kalau ada pelanggan nak tengok tudung mewah bernilai RM100,000 ini, kita mungkin akan pusing satu Malaysia sebab setiap negeri ada satu butik premium Bawal Exclusive. Mungkin saya akan letak di Kelantan sebulan, kemudian pamer di Melaka atau Johor pula,” jelasnya.

    Kata Haliza, kalau ada pelanggan yang tertarik dengan reka bentuk tudung mewah pemberian Swarovski kepadanya itu, beliau tidak keberatan untuk membuat seakan-akan tudung tersebut.

    “Jika ada permintaan yang mahu tudung seakan tudung mewah pemberian Swarovski, saya boleh buat tapi tak bolehlah menggunakan warna yang sama,” katanya yang sudah 22 tahun terbabit dalam perniagaan tudung.

    -BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here