Hentian bas di Seoul boleh saring Covid-19

0
249
FOTO: Seongdong District Government.

CANGGIH… Korea Selatan melancarkan teknologi baharu dalam kempen kekang kes Covid-19 apabila perhentian bas dilengkapi dengan pintu pemeriksaan suhu badan dan lampu ultraungu.

Buat permulaan 10 lokasi di daerah timur laut Seoul sudah pun dipasang yang turut menawarkan perlindungan daripada hujan monsun, bahang panas cahaya matahari dan wabak koronavirus.

Media tempatan melaporkan, penumpang sebelum masuk mesti berdiri di hadapan kamera imej termal automatik dan pintu hanya akan buka jika suhu tubuh individu bawah 37.5 darjah Celsius.

Satu kamera berasingan juga dipasang lebih rendah untuk kanak-kanak dan pondok hentian berdinding kaca moden itu menelan kos pembinaan 100 juta won (RM354,000) setiap sebuah.

Ia turut dilengkapi sistem penyaman udara yang disambungkan dengan lampu ultraungu untuk ‘bunuh’ virus berbahaya tersebut dan pada masa sama, alat itu juga dapat menyejukkan udara.

Satu ruang berisi dispenser sanitasi tangan juga disediakan dan pengguna dinasihat memakai pelitup separuh muka sepanjang masa selain amal jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Kami telah memasangkan kesemua langkah pencegahan Covid19 dalam pondok ini,” jelas Kim Hwang-yun, pegawai daerah yang bertanggungjawab terhadap projek Smart Shelter tersebut.

Sejak dipasang pada minggu lalu ujar beliau, setiap hentian canggih berkenaan direkodkan telah pun digunakan oleh sejumlah 300 hingga 400 orang penumpang bas bandar raya dalam sehari.

Demi memastikan pengguna tidak ketinggalan bas mereka, satu panel yang memaparkan masa ketibaan bas manakala skrin menyiarkan secara langsung suasana lalu lintas di luar hentian itu.

Malah, untuk hilangkan kebosanan sementara bas belum tiba, hentian ini juga diliputi dengan kemudahan WiFi secara percuma, stesen pengecas telefon pintar dan alunan muzik terapi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here