Demi keluarga gadis remaja bunuh pengganas Taliban guna senapang AK47

0
378
FOTO: Ikhsan Kerajaan Daerah Ghor.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

APABILA rumahnya diserang oleh pengganas Taliban bulan lalu, Nooria yang berusia 15 tahun terus mencapai selaras senapang automatik AK-47 dan menembak mati dua daripada penyerang itu dan mencederakan seorang lagi.

Susulan kejadian tersebut, Nooria (bukan nama sebenar) yang begitu kental semangat dijulang sebagai wira.

Menurut apa yang diceritakan kepada wartawan BBC kumpulan penyerang itu memasuki kampung Nooria pada malam hari dalam kegelapan.

Mereka memecah masuk ke rumahnya pada kira-kira pukul 1.00 pagi ikut pintu depan.

Nooria yang pada masa itu berada di dalam biliknya terjaga apabila mendengar bunyi bising, tetapi mendiamkan diri sambil memikirkan tentang keselamatan adik lelakinya yang berusia 12 tahun di bilik sebelah.

Dia kemudian mendengar kumpulan penyerang itu mengarahkan ibu dan ayahnya keluar dari rumah mereka yang terletak di lereng bukit.

Tiba-tiba kedengaran beberapa das tembakan dan Nooria pasti bahawa mereka telah membunuh ibu dan ayahnya.

Nooria dibesarkan di sebuah kampung pedalaman yang terletak di wilayah yang paling terkesan oleh konflik serantau di Afghanistan.

Walaupun dia seorang remaja yang amat pemalu dan pendiam, Nooria merupakan penembak cekap kerana telah diajar menggunakan senjata api oleh ayahnya sejak kecil.

Pada malam yang amat menyedihkan itu Nooria bergegas mengangkat senapang AK47 milik ayahnya dan terus melepaskan tembakan ke arah kumpulan penyerang itu hingga dia hampir kehabisan peluru.

Akhirnya setelah hampir sejam beberapa orang penyerang yang masih hidup mengundurkan diri.

Di luar rumah Nooria melihat lima mayat: ibu, ayah, seorang jiran warga emas yang juga saudara mereka dan dua penyerang.

Bagi Nooria apa yang dilakukan oleh anggota Taliban itu amat zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana ibunya tidak bersalah.

Kisah Nooria adalah merupakan secebis daripada kisah kehidupan di Afghanistan di mana anak-anak remaja seperti Nooria dibesarkan dalam keadaan konflik bersenjata yang masih berlarutan dengan puak Taliban menguasai kebanyakan kawasan luar bandar.

Nooria berkata serangan mungkin dilakukan kerana ayahnya merupakan seorang penyokong kerajaan.

Susulan itu muncul beberapa versi kejadian tersebut, termasuk kononnya seorang daripada penyerang adalah suami Nooria sendiri yang menyimpan dendam berhubung pertelingkahan keluarga.

Apa sekali pun kisah di sebalik rentetan peristiwa itu, yang pasti ia menyerlahkan realiti tragis kehidupan penduduk luar bandar di Afghanistan di mana wanita sering terjebak dalam budaya kesukuan, adat tradisional dan patriarki yang mengawal kehidupan mereka.

-BebasNews
 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here