Kerajaan Afghanistan bebas 400 tahanan Taliban

0
201
FOTO: Wakil Kohsar.

Oleh Fetty Rara

KERAJAAN Afghanistan mula membebaskan sekumpulan 400 tahanan Taliban terakhir bagi membuka jalan ke untuk rundingan damai yang telah lama ditangguhkan.

Semalam seramai 80 tahanan dibebaskan, termasuk yang menjalani hukuman kerana terbabit dalam serangan ke atas rakyat Afghanistan dan warga asing, lapor bbc.com.

Pembebasan itu merupakan antara syarat sebelum rundingan dimulakan bagi menamatkan konflik berdarah di negara tersebut sejak 19 tahun lalu.

Rundingan akan bermula di Qatar dalam beberapa hari lagi.

Satu tweet daripada Majlis Keselamatan Nasional Afghanistan berkata tindakan membebaskan tahanan Taliban itu ialah bagi mempercepatkan usaha rundingan terus ke arah mewujudkan gencatan senjata berterusan.

Pada hujung minggu lalu majlis tertinggi kerajaan Afghanistan telah meluluskan pembebasan kesemua 400 tahanan itu walaupun jenayah yang mereka lakukan amat serius.

Antara mereka termasuk 44 orang yang paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat dan lain-lain negara bersabit serangan berprofil tinggi.

Dalam satu amaran semalam Presiden Afghanistan berkata pembebasan mereka merupakan sesuatu yang ‘amat berbahaya’ kepada dunia.

Rejim Taliban jatuh berikutan serangan bersama tentera beberapa negara yang dipimpin oleh Amerika Syarikat pada 2001.

Awal tahun ini AS dan Taliban telah menyetujui perjanjian damai bagi mengakhiri konflik 19 tahun itu.

Persetujuan tersebut membuka jalan bagi rundingan di antara kerajaan Afghanistan dan puak Taliban yang sebelum ni hanya bersetuju untuk berunding dengan AS.

Syarat utama persetujuan di antara AS dan Taliban ialah pembebasan seramai 5,000 tahanan Taliban sebelum rundingan dimulakan.

Susulan itu beribu telah dibebaskan, kecuali 400 tahanan. Seramai 150 daripada mereka sedang menunggu hukuman mati.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here