Biarlah Muhyiddin terus berdoa

0
712

DAH lama tidak mendengar ucapan jiran kampung saya dari Guar Petai, Mohamad Sabu @ Mat Sabu. Dulu semasa beliau ‘berbaju hijau’ dan digelar ayam sabung Pas, kerap juga mengikuti ceramahnya di kampung. Seronok mendengar ucapan dengan ‘gaya bahasa’, mimik muka dan jenaka beliau. Memang sesuatu yang menyeronokkan dan menghiburkan.

Selepas ini mungkin lebih kerap Mat Sabu berada di pentas setelah tidak lagi sibuk dengan tugas anggota Kabinet. Walaupun warna ‘baju’ kini oren, gaya persembahan tidak banyak berubah. Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim membuka peluang untuk Mat Sabu berkempen dan berceramah. Lebih-lebih lagi ini kali pertama pembangkang (sebelum itu kerajaan) menawarkan diri bertanding dalam PRK.

Semasa PRK DUN Chini, PKR tidak berbuat demikian, kononnya atas alasan Covid-19. Kali ini, walaupun Pejuang, parti baharu Dr. Mahathir Mohamad menawarkan diri tetapi Pakatan Harapan (PH) akan membantu. Di pentas pada malam pengumuman calon, pemimpin DAP dan Amanah berucap memberi sokongan. Siapa tahu sebagai pembangkang dan penampilan sulung, Pejuang lebih mudah untuk mencipta kemenangan pertama.

Walaupun Pejuang, parti yang mahu ‘menjaga’ orang Melayu itu tidak mahu ada apa-apa ikatan dengan parti lain, tetapi sebagai pembangkang kerjasama tetap ada, apatah lagi pengasas Pejuang pernah bersama PH. Ujian pertama ini amat penting bagi memberi mesej kepada Perikatan Nasional (PN) yang terus ‘berpolitik’ sambil merasai ‘bulan madu’ Malahan ada yang kata umpama tikus jatuh ke beras.

Kembali ke pentas bersama Mat Sabu. Beliau boleh bercakap apa sahaja, membujur lalu melintang patah. Ada saja bahan yang boleh ‘dikerjakannya’ untuk dijadikan halua telinga khalayak yang mendengar. Berdasarkan persembahan di pentas malam itu, isu pembentukan kerajaan PN selepas peletakan jawatan Dr. Mahathir akan menjadi salah satu modal penting kempen PRK.

Lebih-lebih lagi, terkini Dr. Mahathir menafikan beliau meletak jawatan. Maka semakin ghairahlah PN dilabel sebagai kerajaan tebuk atap, pintu belakang dan pelbagai lagi sedangkan realitinya sudah terkandung dalam titah Yang di-Pertuan Agong. Apa pun dalam politik, semuanya boleh dipolitikkan asal pandai menggunakan kebijaksanaan.

Ini termasuklah jatuhnya kerajaan PH yang berusia 22 bulan. Riuh rendahlah Slim dengan isu ini nanti. Mat Sabu telah memulakannya dengan ‘menghentam’ musuh politiknya, Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali yang didakwa sayang Dr. Mahathir tetapi mengkhianati bekas Perdana Menteri itu. Bagi Mat Sabu, dalam sayang, Dr. Mahathir digulingkan. Itu persepsi yang cuba diterapkan melalui kempen itu.

Mat Sabu tidak dapat menerima apa yang didakwa sebagai pengkhianatan oleh Muhyiddin, rakan politik semasa bersama PH. Katanya politik melompat yang sedang berlaku juga bahaya. Akibatnya, pihak yang dipilih rakyat akhirnya menjadi pembangkang.

Katanya: “ Dua puluh dua bulan kemudian yang menang jadi pembangkang, anak haram jadah sungguh,”

Marah benar mantan Menteri Pertahanan itu. Doa dibaca Perdana Menteri supaya rakyat dijauhi daripada wabak Covid-19 yang diulang siar di televisyen pun dilihat sebagai untuk melindungi ‘keburukan’ Muhyiddin. Kata Mat Sabu, berlindung di sebalik doa. Marahnya kerana ketika sedang asyik menonton babak P.Ramlee mengejar Normadiah, tiba-tiba muncul Muhyiddin membaca doa.

Apa masalahnya doa sebegitu diulang siar? Bukannya doa untuk kehancuran mana-mana pihak. Sekurang-kurangnya dapat mengingatkan orang ramai supaya terus berdoa. Mungkin juga Mat Sabu, Dr.Mahathir atau Anwar Ibrahim diberi peluang untuk membaca doa yang sama.

Bukankah doa itu ibadah? Doa terhitung sebagai ibadah kerana ia menzahirkan kehinaan dan penyerahan diri kepada Allah SWT. Inilah tujuan pensyariatan ibadah di dalam Islam. Justeru setiap muslim tidak seharusnya mengabaikan doa di dalam kehidupan, sama ada ketika bergembira atau bersedih, ketika senang mahupun susah.

Kegelisahan Mat Sabu tidak berakhir di Slim. Keesokan harinya, ketika berucap di Dewan Rakyat, hal yang lebih kurang sama juga dibangkitkan. Soal pengkhianatan sehingga PH tersungkur. Doa Muhyiddin juga dibangkitkan sekali lagi. Doa bagi melindungi rakyat dan negara daripada wabak Covid-19 dilihat seperti ada agenda politik.

Serangan terhadap Muhyiddin ini mungkin samalah serangan Mat Sabu ke atas Dr. Mahathir, Anwar, Najib Razak suatu masa dulu. Bolehlah selak semula ucapan Mat Sabu. Apa perkataan atau label yang tidak dilemparkan kepada Dr. Mahathir dan yang lain. Mungkin ada yang boleh senaraikan ayat, perkataan, audio atau video yang memberi pelbagai label terhadap Dr. Mahathir.

Begitu juga orang politik dalam DAP dan PKR tidak ketinggalan menghentam Dr. Mahathir. Itu bukan cerita dongeng. Dr. Mahathir juga sama ketika bersama UMNO. Inilah warna politik kita. Dulu macam-macam perkataan keluar dari mulut pemimpin tetapi kerana politik, semua boleh buat pusingan u. Sanggup jilat semula ludah. Kentut yang dulunya busuk dah wangi.

Syukurlah Dr. Mahathrir diberi usia lagi untuk mendengar dan melihat apa yang sedang berlaku.

Seperti persoalan Mat Sabu di pentas politik malam itu : “Saya tidak tahu kenapa Allah panjangkan umur Tun Dr. Mahathir Mohamad, barangkali ada perkara yang perlu diselesaikan sebelum Tun (Dr. Mahathir) dipanggil oleh Allah SWT”

Barangkali hikmahnya turut dirasai Mat Sabu. Beliau masih berpeluang bersemuka dengan Dr. Mahathir di pentas politik. Jika dulu pentas diguna untuk mencela Dr. Mahathir, kali ini dapat ditebus segala celaan dengan puji-pujian. Mungkin itu antara jawapan terhadap persoalan Mat Sabu. Syukurlah, Allah SWT memberi peluang itu.

Begitulah permainan politik. Semalam bermusuhan, hari ini berkawan dan sebaliknya. Esok belum pasti. Kebanyakan orang politik memiliki pengalaman itu. Hanya yang betul-betul berprinsip tidak mudah goyah. Tetapi berapa ramai yang begitu?

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here