Rakyat Malaysia mangsa Covid19 di Sudan meninggal dunia

    0
    4289

    KUALA LUMPUR — Seorang rakyat Malaysia yang dijangkiti virus Covid-19 di Sudan dilaporkan telah meninggal dunia hari ini (14 Ogos) di Hospital Royal Care International Sudan di ibu kota negara itu, Khartoum.

    Allahyarham Arzurham Mohd. Arih, 44, yang disahkan dijangkiti virus berkenaan pada awal Ogos telah dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan.

    Kesan daripada jangkitan berkenaan, Allahyarham telah berada dalam keadaan koma berapa hari selepas dimasukkan ke hospital.

    Bagaimanapun, menurut keluarga allahyarham, disebabkan kekurangan peralatan, pihak hospital telah menasihatkan agar beliau dibawa pulang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Menurut abang Allahyarham, Arsuhaili Mohd. Arih – pihaknya, rakan-rakan Arzurham di Malaysia dan Sudan, Kementerian Luar Negara Kementerian Kesihatan Malaysia memulakan usaha untuk membawa adiknya itu pulang.

    Menurut beliau, kedua-dua kementerian berkenaan telah pun memberikan kelulusan serta memulakan usaha berkaitan di mana Allahyarham dijangka diterbangkan pulang pada Isnin depan.

    “Usaha telah dijalankan namun Allah lebih menyayangi Arzurham. Kami reda dengan pemergian alahyarham.

    “Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah membantu dan memohon kepada rakan-rakan allahyarham agar menghadiahkan solat jenazah ghaib kepada arwah,” katanya ketika dihubungi BebasNews hari ini.

    Menurut Arsuhaili, jenazah Arzurham akan dikebumikan di Khartoum, Sudan seperti mana  pernah diwasiatkan beliau sebelum ini.

    Allahyarham Arzurham meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

    Selain beliau, isteri dan anak-anaknya juga disahkan positif Covid-19 walaupun mereka tidak menunjukkan gejala jangkitan.

    – BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here