
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
TIMBALAN Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (Adab), Prof. Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusoff melahirkan kebimbangan dengan kurangnya pembabitan golongan belia dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti mereka.
Justeru Adab katanya, bertekad meluaskan keahlian dan pembabitan golongan belia Melayu dan Bumiputera menerusi penubuhan Biro Belianya seperti yang diputuskan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kesembilannya, hari ini.
Kata Ghazali, penubuhan biro berkenaan merupakan antara tiga agenda AGM Adab selain membincangkan kedudukan tanah rezab milik orang-orang Melayu dan Perlembagaan Persekutuan, hak-hak istimewa Melayu dan institusi beraja.
“Sekarang keahlian para belia Melayu dan Bumiputera yang berusia bawah 40 tahun, begitu kurang dalam Adab. Justeru kami mahu cuba perluaskan penyertaan dan pembabitan mereka dalam misi memperjuangkan agenda Adab.
“AGM hari ini turut bersetuju melantik Penolong Setiausaha Muhammad Shah Hakimi Sarizat sebagai Pengerusi Biro Belia Adab.
“Sebagai Ahli Majlis Adab yang berusia 20-an, beliau pasti mempunyai cara dan maklumat tertentu dalam menarik penyertaan golongan belia selain memahami cita rasa mereka apabila menyusun program dan aktiviti yang bersesuaian,” katanya.

AGM di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu turut menjalani pemilihan Ahli Majlis Adab bagi penggal 2020-2022 yang mengekalkan Tan Sri Mohd. Yusof Hitam dan Ghazali sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusinya.
Turut kekal ialah dua Naib Pengerusi Adab iaitu Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan dan Datuk Sopian Ahmad.
Antara program dan aktiviti Adab bagi para belia kata Ghazali, bakal digarap tidak lama lagi menerusi kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang berkaitan golongan itu.
-BebasNews
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-’96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2010-17 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).