SATU babak dari telefilem “6 Hari”. Ini adalah kali pertama Yusry berlakon bersama isterinya, Lisa Surihani.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

WALAUPUN baru dua drama arahannya melibatkan isteri sebagai pelakon utama namun sudah timbul cakap-cakap kononnya itulah syarat yang ditetapkan oleh pengarah berkenaan jika mahukan khidmatnya.

Sama ada penerbit bersetuju atau tidak kononnya itulah kenyataan yang harus diterima oleh mereka.

Cakap-cakap itu bagaikan satu kenyataan apabila sebelum ini kelihatan beliau bukan sahaja bertindak sebagai pengarah malah turut berlakon dalam telefilem “6 Hari.”

SAIFUL (Datuk Farid Kamil) yang mempunyai masalah mental sanggup mencederakan isterinya, Rose (Lisa Surihani) kerana cemburu.

“6 Hari” telefilem terbitan Yureka Filem dengan kerjasama Global Station yang disiarkan di Astro Citra HD (108) Astro Citra (128) pada 13 Jun lalu, bukan sahaja meletakkan beliau sebagai pengarah malah beliau juga menjadi pelakon utama memegang watak Faizal bersama isterinya, Lisa Surihani yang melakonkan watak Suzy, isteri ketiga kepada Ismal (Datuk Aaron Aziz) dan Linda, kawan baik Suzy (Neelofa).

Sementara drama bersiri “Pelindung Seorang Puteri” arahannya yang kini ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) bermula 28 Julai, juga menampilkan isterinya, Lisa Surihani sebagai pelakon utama memegang watak, Rose.

HAZRIL (Sharnaaz Ahmad) bos Rose dalam satu babak “Pelindung Seorang Puteri.”

Pengarah, Yusry Abdul Halim atau lebih dikenali Yusry KRU ketika dihubungi petang Ahad
(16 Ogos) ketawa seketika apabila ditanya mengenai cakap-cakap itu sambil berkata;

“Saya tidak pernah meletakkan syarat kepada penerbit kerana sebenarnya para pelakon ditentukan oleh Astro bukan pengarah.

“Saya sudah mengarah lima drama episod dan tiga telefilem hanya dua sahaja yang melibatkan Lisa.

“Sebenarnya untuk watak Rose bukan isteri saya pilihan utama. Pihak Astro mahukan pelakon lain tetapi disebabkan pelakon berkenaan sibuk mereka menawarkan watak itu kepada Lisa.”

HALEEDA berjaya mewarnai watak Mak Dak Liza, ibu mertua yang membenci menantunya, Rose.

Menurut Yusry, bukan setakat watak Rose malah watak Saiful dan Hazril juga Astro menamakan pelakon lain.

Bagaimanapun, katanya disebabkan pelakon pilihan Astro sibuk maka mereka memilih Datuk Farid Kamil (Saiful) dan Sharnaaz Ahmad (Hazril).

“Bagi saya ketiga-tiga pelakon utama telah menjiwai watak mereka dengan baik dan berkesan seperti mana yang dikehendaki oleh skrip,” kata Yusry.

“Pelindung Seorang Puteri” yang disiarkan melalui slot Megadrama sebanyak 16 episod terbitan Suhan Movie mula menjalani penggambaran pada Februari lalu. Bagaimanapun apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac untuk menyekat penularan pandemik Covid-19 mereka terpaksa menghentikan penggambaran.

“Ketika itu penggambaran baru 50 peratus siap dan apabila PKPB kami sambung semula dan alhamdulillah ia siap sepenuhnya dalam tempuh sebulan.

“Walaupun setelah lebih dua bulan tinggalkan set, saya bersyukur kerana mereka adalah pelakon profesional yang mampu
membina mood yang sama,” kata Yusry.

Pengarah drama “Pelindung Seorang Puteri” Yusry Abdul Halim atau lebih dikenali Yusry KRU.

Apabila ditanya mengenai drama tersebut yang diadaptasi dari novel yang sememangnya menjadi trend semua stesyen TV di Malaysia, Yusry berkata;

“Kalau diberi pilihan saya lebih suka drama berdasarkan karya yang asli berbanding adaptasi novel kerana penonton sudah tahu jalan ceritanya.

“Bagaimanapun sebagai pengarah saya mengambil inisiatif sendiri untuk merombak skrip yang dihasilkan kerana kebanyakan mereka mengikut 100 peratus dari novel menjadikan jalan ceritanya lembab,” jelas Yusry.

Menurut beliau, disebabkan skripnya disiapkan berperingkat apabila skrip untuk episod seterusnya sampai beliau akan membaca dan merombaknya untuk membina klimaks pada setiap episod.

Katanya, setiap hari selepas shooting dan apabila sampai rumah sama ada pukul 11 malam atau 12 malam ketika kru penerbitan dan pelakon sudah lena di rumah masing-masing, beliau masih mengedit skrip berkenaan.

Apabila ditanya dugaan mengarah drama berkenaan, tanpa berselindung Yusry memberitahu;

“Selalunya apabila babak antara suami isteri, saya sering menegur Farid Kamil kerana dia kelihatan kaku dan malu-malu. Saya sering mengingatkan bahawa dia adalah Saiful dan di depannya adalah isterinya, Rose dan yang penting babak yang dilakonkannya sopan dan nampak realistik.

“Bagaimanapun apabila melibatkan babak Saiful mendera dan memukul Rose walaupun terbatas saya menumpukan perhatian lebih 100 peratus bimbang terlalu ‘over’ kerana saya tidak mahu menunjukkan keganasan rumahtangga.”

Menyentuh mengenai watak Mak Dak Liza ( lakonan Haleeda), ibu mertua yang tidak menyukai menantu (Rose), komen Yusry;

“Saya suka cara Haleeda dalam mewarnai watak Mak Dak Liza yang dalam diam membenci menantu untuk menutup kekurangan anaknya, Saiful.

“Mak Dak Liza tidak menjerit tetapi dalam diam tindakan dan kata-katanya memang menyakitkan hati.”

Bercakap mengenai projek terbarunya, Yusry memberitahu beliau akan mengarah filem dan drama tidak lama lagi.

“Pelindung Seorang Puteri” membawa kisah mengenai Rose dan Saiful yang berkawan baik sejak di sekolah. Saiful terlalu meyayangi Rose sehingga sanggup bertindak ganas dengan membunuh kucing yang menggigit kaki Rose.

Mak Dak Liza sanggup melakukan apa sahaja untuk memisahkan Saiful dan Rose kerana tidak mahu penyakit mental keturunan keluarganya akan diwarisi Saiful.

Bagaimanapun sudah ditentukan jodoh mereka, akhirnya Saiful dan Rose dinikahkah. Sifat cemburu yang tidak boleh dibendung membuatkan Saiful sering memukul dan mencederakan Rose apabila mendapat tahu Rose pergi tugasan luar daerah dengan Bosnya, Hazril.

Bukan itu sahaja, kerana selalu didesak dengan keturunan oleh ibunya, Mak Dak Liza, Saiful hampir membunuh Rose.

Demi keselamatan Rose, akhirnya Saiful ceraikanya. Rose membawa diri jauh dari Saiful dengan satu rahsia tanpa pengetahuan Saiful.

Selain Lisa Surihani, Datuk Farid Kamil, Sharnaaz Ahmad dan Haleeda drama ini turut dilakonkan oleh Arash Mohd, Jasmine Suraya dan Zein Ruffedge.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here