Contohilah DBKL, proaktif bukan menghukum

0
662

Oleh Ahmad Abd Hamid

RAMAI yang tertanya-tanya kenapa penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak ‘pukul keliling’ menyita dan mengangkut gerai-gerai peniaga tanpa lesen di Sungai Buloh baharu-baharu ini, termasuk yang sudah berniaga berbelas-belas tahun.

Tindakan itu dilihat sesetengah pihak sebagai melepas geram atau dendam. Kenapa marah nyamuk, kelambu pulak dibakar.

Pada satu sisi, tindakan susulan selepas didedahkan wujudnya premis judi dan peniaga haram dibiarkan beroperasi di kawasan tersebut tanpa tindakan, menampakkan sikap proaktif segera daripada MBSA yang wajar dipuji.

Namun apabila tindakan diambil tanpa peringatan ke atas semua peniaga tidak berlesen di kawasan tersebut, ia dilihat sebagai satu ‘tindakan marah’. Adakah marah kepada diri sendiri kerana tidak mengawal kegiatan haram selama ini dan orang ramai menuding jari ke arah mereka, atau marah kepada pemberi maklumat? Tidak dapat dipastikan.

Mungkin MBSA terasa kredibilitinya goyah berhubung isu Sungai Buloh itu. Apatah lagi ekoran itu sebilangan anggota penguatkuasa MBSA termasuk pengarah, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan kerana disyaki menerima imbuhan bulanan melindungi premis judi serta peniaga haram.

Namun apa yang diharapkan tindakan menghukum para penjaja di situ bukan kerana dendam lantaran tidak dapat bertindak kepada pemberi maklumat atau marah dengan tindakannya sehingga rasa marah itu ditempiaskan kepada peniaga lain.

Asalkan sahaja peniaga tanpa lesen, tindakan diambil sehingga mengejutkan ramai peniaga yang sudah lama mencari rezeki di kawasan berkenaan. Mereka merasakan seolah-olah teraniaya dan terpalit sama dengan kontroversi yang melanda. Namun bagi MBSA tugasnya hanya melaksanakan tanggung jawab menurut peruntukan undang-undang.

Memang diakui berniaga tanpa lesen menjadi satu kesalahan. Ia boleh diambil tindakan. Namun wajar juga diingat ramai peniaga sudah lama berniaga di kawasan tersebut. Mereka berharap sebarang tindakan yang diambil bukan kerana kontroversi yang timbul sehingga mereka turut dihukum.

Harapan mereka juga tindakan biarlah lebih bersifat timbang rasa serta dalam bentuk peringatan terlebih dahulu. Seperti yang diluahkan oleh para peniaga berkenaan, mereka bukan tidak berusaha meminta lesen. Namun proses permohonan sukar dan lama mengakibatkan mereka terus berniaga secara tidak sah, apatah lagi ketika keadaan ekonomi yang kurang baik ini.

Luahan hati peniaga ini wajar diselami dan diberi perhatian serius oleh MBSA. Mereka merupakan kelompok peniaga atau penjaja yang berusaha mencari rezeki kecil-kecilan. Tugas pihak berkuasa perbandaran adalah membantu dan mempermudahkan, bukan menyusahkan peniaga berkenaan meneruskan kegiatan seharian.

Barangkali pendekatan yang kini dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mendepani penjaja atau peniaga tidak berlesen boleh dijadikan panduan. DBKL menghadapi kelompok ini secara berhemah. Nasihat dan peringatan diberi sebelum tindakan diambil.

Dahulu memang DBKL juga kerap bertindak tanpa banyak budi bicara. Namun dengan pendekatan baharu yang diterapkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, beliau mahu mereka yang berniaga tanpa lesen ini dibiarkan terus berniaga. Oleh itu proses permohonan lesen juga akan dipermudahkan.

Sebelum memperoleh lesen kekal, lesen sementara diberi terutama kepada para peniaga yang sudah lama berniaga di sesuatu lokasi tertentu. Ini untuk membolehkan mereka terus berniaga tanpa gangguan atau bimbang menjadi sasaran pihak penguatkuasa.

Malah peniaga yang merasakan ada potensi perniagaan di sesebuah lokasi tertentu boleh memohon untuk berniaga di kawasan tersebut. Pihak DBKL akan mengkaji potensi lokasi tersebut. Jika didapati benar-benar berdaya maju DBKL sedia menimbang untuk memberi lesen.

Jelas langkah yang diambil bertujuan menggalakkan mereka yang berminat berniaga meneruskan aktiviti dalam suasana selesa dan tenang dan secara ‘halal’. Jika segala sokongan diberi dan urusan mendapat lesen dipermudah tetapi tetap enggan memohon lesen barulah tindakan diambil.

Mungkin MBSA boleh mencontohi DBKL. Tiada salahnya mencontohi sesuatu yang baik. Akhirnya yang dilihat dan diingini oleh orang ramai ialah undang-unda ng bukan sahaja menghukum tetapi juga melindungi mereka.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here