Hael Husaini gembira lagu Bujang mendapat sambutan daripada peminat.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

LAGU Bujang dendangan Hael Husaini yang dilancarkan baru-baru ini buka sekadar hiburan semata-mata tapi luahan hatinya sendiri.

Hael yang gemar buat lagu berkonsep itu berkata, kebanyakan lagu yang disiarkan di corong radio lebih kepada berunsurkan cinta atau putus cinta. Katanya, jarang sekali dengar lagu yang menceritakan isi hati orang bujang.

“Kali ini konsepnya bujang sebab ramai kawan-kawan saya yang masih bujang dan menanti jodoh, termasuklah diri saya sendiri. Secara kebetulan saya dah ada lagu Hari Ini, untuk golongan yang dah kahwin.

“Saya tak ada lagi lagu yang saya rasa nak enjoy, jadi inilah lagu untuk saya enjoy. Lagu ini didedikasikan kepada semua orang bujang. Orang selalu ingat bila bujang saja, hidup sedih, jadi saya buat lirik, malam ini kita keluar mencari cinta,” katanya.

Setakat ini beliau berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap lagu ciptaannya bersama MFMF itu. Kolaborasi Hael bersama orang lain, membuatkan ada yang berpendapat beliau dan Ezra Kong ada masalah.

“Sebenarnya kami tak ada masalah. Dari dulu lagi Ezra dan saya bersikap terbuka. Tiada halangan jika kami ingin bekerjsama dengan mana-mana pihak. Cuma sekarang ini bila lagu yang saya buat itu tak ada Ezra, orang ingat kami bergaduh.

“Setiap lagu yang saya buat, walaupun bukan dengan Ezra, saya akan rujuk dengan dia juga. Kita sentiasa berkongsi sebab saya masih belajar dan dia banyak mengajar saya, antara kami tak ada masalah sebenarnya,” katanya yang bergandingan dengan Ezra menghasilkan lagu Jampi dan Haram.

Hael juga menolak rumors yang mendakwa lagu Bujang itu sebagai tanda bahawa beliau akan meninggalkan status tersebut kerana telah menemui cinta sejati.

Beliau yang dilihat rapat dengan penyanyi Dayang Nurfaizah itu amat berhati-hati apabila menjawab soalan berkaitan penyanyi tersebut.

Kata Hael, insya-Allah, jika sudah sampai jodoh, beliau akan bertunang dengan sesiapa yang sudi menerimanya.

“Its okey to be bujang dan saya taklah rasa tertekan bila tengok kawan-kawan seangkatan telah berumah tangga. Tapi kalau boleh kita nak juga merasa fasa itu sebab umur pun dah meningkat.

“Tapi tak apa macam lagu Bujang tu kata, jodoh akan ada. Jadi kenalah mencari dan banyak berdoa semoga dapat yang baik-baik,” katanya sambil tersenyum.

Sementara itu, tatkala ditanya kenapa beliau menyertai program Immortal Songs yang akan bersiaran di TV3, mulai 30 Ogos ini. Kata Hael, beliau adalah peminat lagu-lagu Korea dan kebetulan program tersebut diadaptasi daripada negara itu.

“Saya adalah peminat lagu-lagu Korea dan rancangan itu sangat bagus untuk penyanyi. Bila ia dibawa ke Malaysia, saya rasa ini adalah satu peluang untuk saya bereksperimen dan merasai pengalaman seperti artis Korea. Rancangan ini adalah high rating di sana,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here