Sejadah saiz standard wajib terus dibawa ke masjid di Selangor

0
553
FOTO: Aziz A. Shariff

SELANGOR tetap mewajibkan masyarakat Islam di negeri itu membawa sejadah saiz standard untuk menunaikan solat fardhu lima waktu dan Jumaat di masjid dan surau.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini 27 Ogos, langkah itu selaras dengan ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan surat arahan yang dikeluarkan JAIS bertarikh 29 Julai lalu.

Di samping itu, JAIS juga melarang bukan warganegara yang sama sekali tidak dikenali, atau tidak diketahui tempat tinggal dan tidak melazimi solat fardhu berjemaah dari menghadiri masjid dan surau.

Hanya bukan warganegara yang benar-benar dikenali oleh pihak masjid dan surau sahaja dibenarkan hadir.

Menurut pekeliling itu, walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelonggaran berhubung dua perkara tersebut tetapi pelaksanaannya masih tertakluk kepada pihak berkuasa negeri.

Keputusan JAIS itu adalah sebagai langkah dan ikhtiar bagi menjaga kepentingan umat Islam dan masyarakat awam serta bagi mengekalkan kawalan kendiri yang tinggi dalam kalangan jemaah masjid dan surau di negeri itu.

Pihak masjid dan surau juga diminta menetapkan akses serta kemudahan yang wajar mengikut ketetapan kepada pelbagai kategori jemaah termasuk musafir yang dibenarkan agar mendapat kemudahan mendirikan sokat fardhu dengan sempurna.

Menurut JAIS, penutupan pintu, pagar utama atau sebarang halangan kemasukan hanya boleh dibuat dalam keadaan jumlah kehadiran telah mencukupi berdasarkan penjarakan ditetapkan dan berlaku suatu keadaan menyebabkan kesesakan.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here