Warga asing tanpa identiti dilarang solat di masjid dan surau-JAIS

0
492

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Warganegara asing di negeri ini yang tidak diketahui identiti dan tempat tinggal dilarang sama sekali menunaikan solat berjemaah di semua masjid dan surau di Selangor.

Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), arahan tersebut bertujuan untuk mengelakkan penularan pandemik Covid-19 di kedua rumah ibadat tersebut.

“Pihak JAIS telah mengarahkan semua masjid dan surau mematuhi arahan tersebut berkuasa serta merta.Berdasarkan surat arahan itu, semua jemaah warga asing yang tidak dikenali atau tidak diketahui tempat tinggal dilarang sama sekali hadir ke masjid dan surau di negeri ini.

“Ketetapan itu bagi mengelak kemungkinan berlaku penularan jangkitan Covid-19 daripada jemaah bukan warganegara  sama ada bergejala atau sebaliknya,” jelas kenyataan tersebut.

Warga asing tanpa identiti diketahui dilarang bersolat di surau dan masjid di Selangor.

Media melaporkan kelmarin, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada warga asing beragama Islam untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau berkuat kuasa pada 1 September iaitu minggu depan.

Ismail dilaporkan berkata, jemaah juga diberi kelonggaran tidak membawa sejadah namun semua kebenaran tersebut masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini.

JAIS bagaimanapun memaklumkan penggunaan sejadah bersaiz biasa (standard) masih dikekalkan di negeri ini.

“Pentadbir masjid dan surau perlu memastikan hanya sejadah saiz itu dibawa jemaah ketika menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat.

“Pihak JAIS juga mengarahkan pentadbir masjid dan surau menetapkan akses serta kemudahan yang wajar kepada semua kategori jemaah termasuk musafir,”katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here