Sentuhan emas lahirkan ’Selangor Golden Triangle’

0
493
Tan Sri Lim Kim Hong

Oleh Mowardi Mahmud

SHAH ALAM – Bandar i-City bukan lagi sekadar dikenali sebuah ‘bandar bercahaya’ di waktu malam untuk memeriahkan suasana di Shah Alam. Bahkan tidak juga hanya sebuah taman tema tetapi kini berubah menjadi sebuah kawasan pertumbuhan ekonomi.

Perubahan ini jelas apabila kerajaan Negeri Selangor telah memberikan pengiktirafan terhadap bandar berkenaan yang kini dikenali Selangor Golden Triangle (SGT).

Begitu pun, SGT bukan segitiga pertumbuhan ekonomi atau ‘golden triangle’ yang kaleng-kaleng atau sebarangan tetapi merupakan projek pembangunan bandar ultrapolis berteraskan dan dipacu teknologi yang tiada tandingannya.

Bagi Tan Sri Lim Kim Hong, pengasas dan pengerusi eksekutif I-Berhad yang membangunkan i-City, projek pembangunan hartanah bersepadu seluas 72 ekar itu juga disasar sebagai pemangkin berterusan kepada pertumbuhan negeri Selangor amnya dan Shah Alam khasnya.

Lim yang mengilhamkannya bangga kerana tiada projek setempat lain mampu mencatat pencapaian sedemikian. Kini, Shah Alam juga memiliki kawasan segitiga pertumbuhan ekonomi seperti di Kuala Lumpur.

Bersandarkan konsep pembangunan yang dijelmakan seorang perancang perbandaran terkemuka dunia, Jon A Jerde dan berbekalkan hasil tangan arkitek utamanya SA Architects, SGT di i-City dijangka turut sehebat bandar-bandar lain di dunia.

Lebih menarik lagi pembangunan yang ditawarkan ini mengabungkan elemen komersial, komuniti dan kebudayaan dalam memastikan kelestarian pembangunan masa depan Shah Alam.

SGT di bawah pelan induk pembangunan yang dirangka mampu untuk berkembang pesat apabila ia berjaya mewujudkan kesalinghubungan antara semua komponen dalam projek pembangunan tersebut termasuk kawasan di sekitarnya.

Lim sebenarnya memiliki pandangan jauh ketika memulakan projek i-City kerana impiannya bukan sekadar membina projek bertaraf antarabangsa tetapi juga pembangunan induk bersepadu merangkumi sistem pengangkutan yang berpiawaian tinggi

Selain kewujudan projek pembinaan Laluan LRT3 di i-City, SGT juga bakal dilengkapi dengan kecanggihan kereta pintar tanpa pemandu dan juga kereta api elektrik yang akan menjadikan sistem perhubungan bukan satu masalah.

Sehingga kini, komponen yang dimajukan seperti riadah, komersial, peruncitan, hospitaliti dan kediaman telah pun beroperasi sehingga berjaya meraih status MSC Malaysia Cybercentre dan juga destinasi pelancongan.

Lim dalam satu temubual di sini berkata, pihaknya merancang membina ‘SGT Double Eye’, dua buah roda gelung raksaksa saling bercantum yang pertama seumpamanya di dunia dan akan menjadi tarikan terbaharu dunia.

Beliau percaya SGT Double Eye juga tidak kurang hebatnya dengan London Eye yang mengagumkan dunia.
Segala pembangunan SGT bersifat organik itu berlaku secara berterusan berdasarkan konsep reka bentuk yang ingin direalisasikannya. Pusat beli belah Central i-City Mall berharga RM850 juta telahpun dibuka dengan rasminya tahun lalu dan menyaksikan kehadiran ramai pengunjung termasuk kawasan sekitar.

Menara Sumurwang Tower setinggi 33-tingkat yang menempatkan ibu pejabat korporat I-Berhad, juga telah siap dibina dan dilengkapi dengan rangkaian jalur lebar pada kelajuan 400 gigabit, sesuatu yang tidak terdapat di mana-mana di negara ini.

Rangkaian jalur lebar berkenaan telah pun merupakan satu kelebihan yang dinikmati komuniti SGT tetapi penawaran komunikasi sistem 5G dijangka akan membawa banyak penggunaan teknologi-teknologi baharu masa depan.

Lim mengakui komunikasi jalur lebar merupakan komponen yang kritikal, sehubungan itu pihaknya bertindak membina pakatan dengan syarikat terkemuka dunia seperti Huawei, HIKVision, Sens Time dan lain-lain.

Langkah itu juga bertujuan menarik syarikat multi nasional, syarikat telco, institusi kewangan dan firma teknologi tinggi serta syarikat-syarikat ‘start-up’.

Begitu juga halnya dalam pembangunan hotel 300-buah bilik DoubleTree by Hilton yang disasarkan untuk menarik penyertaan rangkaian perhotelan dan juga syarikat-syarikat multinational dalam fasa perkembangan SGT yang seterusnya.

Sebagai pelengkap Super Apps, aplikasi berplatform tunggal juga diperkenalkan untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada komuniti SGT. Komuniti bukan hanya boleh membuat pesanan tetapi juga mencari kerja, berjual beli dan membuat pembayaran.

Melihat ke hadapan, Lim melihat kewujudan mercu tanda ikonik SGT Tower setinggi 79 tingkat mengadap Lebuh raya Persekutuan akan menjadi simbol kepada statusnya sebagai sebuah kawasan segitiga emas.

Selain itu, ia juga memperlihat SGT sebagai pusat sejagat bagi teknologi dan inovasi yang menempatkan syarikat-syarikat berteknologi tinggi dan ‘start-up’.

SGT Tower yang antara lain mempunyai hotel 5-bintang tertinggi di Shah Alam, pada bahagian atas bangunan menawarkan pemandangan 360 darjah bak lampu rumah api di tebing tinggi yang memerhatikan seluruh Shah Alam.

Menara ini apabila siap sepenuhnya akan menjadi bangunan tertinggi di Selangor bersama-sama dengan keseluruhan pembangunan SGT bukan sahaja mengubah latar lanskap pencakar langit yang ada tetapi juga menawarkan pelbagai kemungkinan tanpa batasan.

Ternyata Lim, seorang bekas tukang kayu bukan sekadar bercakap kosong tetapi sebaliknya mempunyai sentuhan emas yang luar biasa.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here