Zulkifli Zain pergi menghadap Illahi

0
619
Zulkifli Zain meninggal dunia kerana komplikasi pelbagai penyakit.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

INDUSTRI seni kehilangan seorang lagi pelakon berbakat iaitu Datuk Zulkifli Zain, 76, yang menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 7.30 malam tadi (5 September) akibat komplikasi pelbagai penyakit di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Klang.

Berita sedih itu disahkan oleh anak sulungnya, pelakon dan pensyarah Dr. Norzizi Zulkifli yang berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

“Betul-betul azan Maghrib, papa dah tiada. Saya berada di sisinya setiap masa, cuma saya tak nampak saat nafasnya yang terakhir itu.

“Ada satu part tu saya nampak dia tarik nafas tapi saya tak pernah ada pengalaman. Saya ada tengok, telinga dan hidungnya nampak macam jatuh tapi tak sangka inilah waktunya,” cerita Norzizi kepada seorang wartawan.

Menurut Norzizi, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang, selepas solat Zuhur esok.

Norzizi berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

“Insya-Allah esok (6 September), sekitar pukul 10.30 pagi jenazah akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana untuk dimandikan dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, selepas Zuhur,” katanya.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Normala Omar yang juga pelakon dan penyanyi, lima orang anak serta tujuh cucu.

Zulkifli semasa hayatnya, cukup popular dengan watak Bentayan, lakonannya dalam drama Tragedi Seri Mersing pada 1985.

Filem lain lakonan Allahyarham adalah Sayang Anakku Sayang pada 1981, Penentuan (1982), Kecil-Kecil Cili Api (1996), Anak Mami Kembali (2005) dan Cicakman (2006).

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here