Jebat masih ‘power’, empat hari raih RM1.3 juta

0
529
Satu kejayaan kepada penerbit filem tempatan, semoga industri filem semakin menyerlah.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TIADA siapa yang dapat menduga rezeki seseorang kerana semua itu urusan Allah. Walaupun sekadar tayangan di Astro First, saluran 480, filem Jebat, terbitan Pena Creative Pictures mampu meraih kutipan RM1.3 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Kutipan mampu melonjak naik lagi kerana dengan hanya RM15, penonton di rumah boleh menonton filem itu bersama ahli keluarga dalam tempoh 48 jam berulang kali.

Seandainya filem tersebut ditayangkan di pawagam dalam keadaan sekarang (pandemik Covid-19), mungkin untuk mendapat kutipan sebanyak itu memakan masa yang lama.

Sudah tentu orang yang senyum lebar dengan pencapaian filem arahan Jamal Khan itu ialah Penerbit Eksekutif filem tersebut iaitu Datuk Ziela Jalil yang juga Ketua Pena Creative Pictures.

“Saya bersama seluruh tenaga produksi yang terlibat tentunya rasa amat gembira atas kejayaan serta sokongan padu penonton terhadap filem Jebat.

Rupa-rupanya watak Mastura dan Jebat ada pengikut tersendiri.

“Saya menerima maklum balas bahawa rata-rata penonton terhibur dengan filem ini yang cukup dengan elemen aksi, komedi, sedih dan romantik. Tidak dinafikan gandingan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose juga mengubati rindu penonton.

“Saya harap penerimaan positif ini dapat berterusan dan secara tidak langsung mampu mengajak lebih ramai lagi untuk menonton Jebat. Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Astro Shaw kerana membawa Jebat dengan rangkaian promosi yang kreatif dan strategik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Astro Shaw.

Filem arahan Jamal Khan yang mula disiarkan di Astro First sejak 3 September lalu ternyata mempunyai pengikut tersendiri kerana Jebat merupakan kesinambungan daripada drama bersiri ukan Kerana Aku Tak Cinta (BKATC) pada tahun 2013.

Lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose melekat di hati penonton Jebat.

Sokongan yang diberi oleh penonton menunjukkan mereka begitu mengambil berat tentang watak Jebat, lakonan Sharnaaz Ahmad dan  Mastura yang dijayakan oleh Nelydia Senrose.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Jebat mencipta sejarah apabila berjaya meraih kutipan RM1.3 juta dalam tempoh empat hari tayangan di platform Astro First.

“Dengan kejayaan ini, ia memperlihatkan perkembangan positif dalam penjanaan semula industri perfileman Malaysia.
Memahami kehendak penonton yang sentiasa inginkan konten terbaik, pihak kami akan terus membawakan lebih banyak filem-filem segar kelak menerusi kerjasama dengan produksi berbeza.

“Saya harap, Jebat mampu melakar fenomena tersendiri di samping menyuntik keyakinan buat penerbit-penerbit lain dalam mempersembahkan karya dalam normal baharu ini,” katanya memberi semangat kepada penerbit tempatan.

Selain Sharnaaz dan Nelydia, Jebat turut dibintangi Sangeeta Krishnasamy yang merupakan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29, Idris Khan, Carmen Soo, Louisa Chong, Yap Chin Fong, Rahhim Omar serta bintang Mixed Martial Art (MMA), Peter Davis.

Kisah Jebat bermula apabila Jebat dan Mastura menghabiskan masa bersama di luar negara sempena hadiah berbulan madu mereka.

Tanpa diduga, telah berlaku beberapa kejadian yang tidak disangka dan membuatkan Jebat mula risau. Dia yakin ada sesuatu yang tidak kena. Sebaik tiba di Malaysia, mereka masih diekori.

Bagi melindungi Mastura, dia terpaksa kembali ke sarang gengster yang telah lama dia tinggalkan dan mendapati ada pihak yang ingin membunuhnya.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here