MAIS serius tangani fahaman liberal dan pluralisme

0
239

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sentiasa proaktif dalam memantau dan membendung membendung fahaman liberal dan pluralisme yang semakin berleluasa di negeri ini, kata Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Beliau berkata dalam menangani penyebaran fahaman dan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam, MAIS dan pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMS) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor (JPSS) sentiasa bekerjasama secara bersepadu bagi menangani dan mencegah perkara ini.

“MAIS melalui JAIS juga sentiasa proaktif melaksanakan aktiviti pemantauan, risikan dan siasatan secara berterusan termasuk dengan kerjasama orang awam ke atas fahaman ini yang disyaki kembali aktif,” kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Mohammed Khusrin yang menafikan bahawa pihaknya tidak serius dalam berbuat demikian, menambah pemantauan juga dilakukan terhadap media sosial milik kumpulan-kumpulan ini, untuk memastikan ideologi mereka dapat disekat sebelum ia mempengaruhi umat Islam lain.

Beliau berkata, MAIS telah mengeluarkan Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama pada 31 Julai 2014 sebagai peringatan keras kepada umat Islam supaya tidak berpegang dengan fahaman liberal dan pluralisme.

“Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama menyatakan bahawa mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Bagi memberi kefahaman dan penjelasan kepada masyarakat awam berhubung fahaman liberalisme dan implikasi penglibatan seseorang dalam ajaran fahaman tersebut, MAIS dan JMS telah melaksanakan beberapa program penerangan secara berterusan berkaitan fatwa-fatwa itu kepada pelajar sekolah, para pegawai di jabatan kerajaan dan orang awam,” katanya.

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here