Beto Kusyairi percaya bakat daripada jumlah pengikut

0
258
Bakat lakonan Beto Kusyairi tidak boleh dipertikai.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

JIKA sesetengah artis sibuk mengumpul followers (pengikut) bagi ‘membuktikan’ bahawa mereka popular dalam kalangan warganet, lain pula halnya dengan pelakon Beto Kusyairi.

Meskipun mempunyai pengikut ramai, antara tiket untuk melayakkan seseorang artis itu ditawar berlakon, hal itu bukanlah keutamaan kepada Beto biarpun sedar itulah trend sekarang.

Beto yang mempunyai setengah juta pengikut di Instagram lebih yakin dengan bakat yang dimiliki berbanding jumlah pengikut.

“Secara logik dan praktikalnya ini adalah budaya yang terjadi sekarang ini. Saya tak nak cakap luar, ini yang berlaku di Malaysia. Nak tak nak saya kena terima benda itu walaupun saya tak berapa setuju, tapi itulah yang terjadi dan sudah menjadi satu budaya.

Beto Kusyairi berlakon sebagai Inspektor Zul dalam Frontliner.

“Cuma saya mengharapkan ada perubahan dan kesedaran bahawa benda ini tidak lama apabila kita menggunakan populariti semata-mata. Tidak dinafikan karya itu akan dilihat tapi ia tak akan melekat di hati.

“Keuntungan nampak besar, mungkin followers dari media sosial akan menyokong tapi dari sudut penghayatan penonton tidak akan kekal lama,” jelas Beto berdasarkan pandangannya.

Beliau yang ditemui baru-baru ini berkata, perkara berkaitan pengikut, rating, trending dan sebagainya tidak pernah menjadi satu tekanan kepadanya. Sebaliknya, beliau bersyukur kerana masih lagi mendapat tempat dalam bidang lakonan tanah air.

Frontliner adalah kisah benar yang diinspirasikan berdasar pengorbanan anggota barisan hadapan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Benda-benda followers, rating, jumlah trending dan sebagainya tak pernah menjadi satu isu kepada saya. Saya bersyukur setakat ini rezeki yang ditawarkan bukan kerana followers, rezeki yang diberi adalah sebab kemampuan dan kredibiliti.

“Saya tak pernah anggap kurang atau banyak followers satu isu kepada saya. Dari sudut itu saya bernasib baik bukan sepeti sahabat-sahabat lain yang bergantung kepada followers dan ditolak kerana followers kurang.

“Walaupun golongn ini (berbakat) masih minoriti tapi wujud dan mudah-mudahan menjadi momentum dan merubah budaya yang tak berapa sihat ini,” katanya penuh harapan.

Beto bakal muncul dalam drama filem televisyen (FTV), Frontliner yang dijangka menemui penonton menerusi Astro First, saluran 480, Oktober ini menerusi watak seorang anggota polis.

Pengorbanan anggota barisan hadapan perlu dihargai oleh orang ramai.

Bercerita lanjut tentang wataknya, Beto berkata, cabaran utama berlakon dalam Frontiliner, arahan Razif ‘Ajiboy’ Razif apabila membawa watak Inspektor Zul.

“Saya harus berlaku adil kepada pegawai beruniform untuk mengangkat mereka, dalam waktu yang sama bercerita kepada penonton bahawa mereka ini tetap orang biasa sama seperti orang lain, ada tanggungjawab, keluarga yang perlu difikirkan dan sebagainya.

“Itu benda biasa yang kita semua tempuh. Itulah dilema yang dihadapi oleh Inspektor Zul dan juga diri saya sendiri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Benda itu harus ditunjukkan secara adil, mengangkat dan memberitahu tentang dilema yang kita hadapi,” jelasnya.

Beto (dua dari kanan) bersama barisan pelakon Frontliner.

Tambahnya, penerbit ada sediakan link daripada YouTube dan berdasarkan daripada itu dan skrip yang diberi tentang permasalahan yang pihak barisan hadapan hadapi, selebihnya adalah imaginasi dan ciptaannya yang dipesetujui oleh pengarah.

Katanya, Frontliner cuba ketengahkan masalah di sebalik tabir para petugas barisan hadapan iaitu masalah dalaman dengan keluarga.

Tambahnya, kalau berkait keluarga, setiap orang ada dilema dan isu sendiri, cuma orang luar saja yang tak tahu.

“Masalah-masalah ini adalah biasa, kurangnya masa antara keluarga, duit kos dan sebagainya. Untuk itu saya rasa tidak perlu rujuk sesiapa kerana masalah itu kita sendiri sedang hadapi,” akuinya tentang dugaan sepanjang PKP.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here