Isu air: Berkali-kali kena masih belum beringat

0
294
FOTO: NSTP.

Oleh Ahmad Abd Hamid

ISU pencemaran punca sumber air yang mengakibatkan empat buah loji rawatan Air Selangor ditutup serentak sehingga menyusahkan 1.2 juta pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan bukan insiden ‘sudah kena baru beringat’.

Sebaliknya ia lebih kepada sudah pernah kena tetapi tidak beringat dan tidak bertindak. Sudah terputus bekalan sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai baharu bertindak terhadap kilang menyenggara jentera berat yang didakwa bertanggung jawab melakukan pencemaran tersebut.

Pada hal, kilang di Rawang yang mencemarkan punca sumber air di Sungai Gong itu sudah pernah dikompaun RM60,000 sebelum ini tetapi dibiarkan mengulangi kesalahan sama lantaran tiada tindakan drastik diambil.

Yang lebih mengejutkan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan bangga mendedahkan, kilang tersebut sebenarnya tidak mempunyai lesen beroperasi atau menjalankan perniagaan sejak 2014. Kenapa kilang tersebut dibiarkan beroperasi tanpa lesen sejak sekian lama?

Lebih kelakar, pihak MPS mendedahkan pihaknya sudah dua kali meminta kilang berkenaan memohon lesen tetapi diabaikan.

Kenapa pula MPS yang meminta kilang memohon lesen, bukan kilang yang patut memohon lesen sebelum boleh beroperasi?

Setelah kilang tidak memohon lesen dan meneruskan operasi secara haram, kenapa MPS mendiamkan diri? Walau pun kilang sudah pernah dikenakan kompaun kenapa MPS tidak bertindak? Akibatnya kilang terus mencemar sumber air kerana merasa hebat tiada siapa berani bertindak.

Bukan itu sahaja. MPS juga mendedahkan betapa kilang berkenaan mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran. Ertinya ia mendirikan struktur haram sesuka hati di premis mereka. Ini pun didiamkan oleh MPS.

Jadi kenapa baharu sekarang MPS bersemangat mendedahkan ini semua? Kenapa setelah kejadian berlaku baru cerita-cerita tidak enak ini didedahkan? Apakah MPS cuba hendak bersikap telus?

Yang pasti ia hanya mendedahkan kelemahan MPS sendiri yang selama ini membiarkan kilang berkenaan beroperasi secara haram sedangkan mereka mengetahuinya. Semua berlaku di bawah hidung mereka tetapi tiada tindakan tegas diambil.

Kilang berkenaan sudah pernah dikompaun. Bukankah ketika itu tindakan drastik sudah patut diambil seperti menyita dan menutup operasi? Tetapi MPS tidak melakukannya.

Bagi kilang berkenaan, membayar kompaun hanya perkara kecil kerana ia lebih daripada mampu untuk membayarnya. Tetapi mana peranan MPS sebagai pihak berkuasa tempatan dalam ‘mengajar’ kilang degil ini sehingga ia bermaharaja lela mengulangi kesalahan yang sama?

Apakah pula peranan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor khususnya dalam isu ini? Tidakkah ia juga wajar memantau aktiviti kilang yang mencemarkan alam sekitar, dan dalam hal ini mencemarkan punca sumber air yang menjadi tempat bergantung harap warga Selangor dan Wilayah Persekutuan?

Justeru tindakan pihak polis menahan reman pemilik kilang berkenaan untuk siasatan dianggap wajar. Biarlah proses undang-undang menghakimi mereka.

Tindakan drastik kerajaan negeri Selangor mengarahkan kilang tersebut merobohkan bangunan, menghentikan operasi dan mengosongkan tanah seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari, juga dianggap tepat pada masanya walau pun sepatutnya sudah dibuat lama dahulu.

Isu pencemaran sumber air adalah isu serius dan bukan pertama kali berlaku. Pada Julai 2019 loji rawatan Sungai Selangor ditutup akibat kegiatan mengorek pasir di hulu sungai. Pada Disember 2019 pula berlaku pencemaran bau di Sungai Semenyih akibat pembuangan sisa haram. Akibatnya loji rawatan Sungai Semenyih ditutup.
Sampai bilakah semua ini akan dibiarkan berlaku?

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here