“Susah berlakon ni…” Datin Noor Azizah

0
8502
KELUARGA bahagia Noor Azizah. Duduk dari kiri: Datuk Nik Hussein dan isteri, Datin Noor Azizah. Berdiri dari kanan: Khairy Azri bersama isteri, Nur Zulaikha dan anak mereka, Khaiza dan Khairena.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR/Foto: Bob Buhairi/Arkib

BAGI para peminat filem Melayu pada tahun 1960-an pasti masih ingat filem Dayang Senandong yang diterbitkan oleh Shaw Brothers pada tahun 1966.

Selain watak utama Dayang Senandong yang akhirnya ‘muncul’ sebagai seorang wanita yang cantik menawan setelah sumpahan terhadapnya berakhir lakonan Seniwati Datuk Dr. Hajjah Sarimah Ahmad, watak Puteri Mawarni yang manis dan ayu lakonan Datin Noor Azizah juga menarik perhatian para peminat filem Melayu ketika itu.

Meskipun hanya muncul dalam dua babak iaitu ketika bertentang mata dan bertukar cincin dengan Raja Iskandar (Allahyarham Seniman Kuswadinata) sewaktu Dayang Senandong mahu menyelamatkan suaminya (lakonan Allahyarham Seniman Ahmad Mahmud) dan bertentang mata dengan Raja Iskandar di istana, ia cukup meninggalkan kesan bukan sahaja kepada penonton tetapi kepada Noor Azizah sendiri!

Sebabnya, Noor Azizah yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan kerana sokongan kuat daripada Ahmad Mahmud.

“Kak Noor melawat ke Studio Jalan Ampas dan ketika itu Pak Mad (Ahmad Mahmud) sedang shooting filem Dayang Senandong. Waktu tu Kak Noor menetap di Johor Baharu kerana ayah adalah Ketua Polis Daerah Johor.

“Selepas itu, Kak Noor ditawarkan berlakon. Walaupun dua babak tetapi bayarannya memang lumayan,” cerita Datin Noor Azizah yang lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Noor.

Menurut beliau, apabila melihat para seniman dan seniwati berlakon nampak senang sahaja tetapi apabila beliau memulakan hari pertama penggambaran untuk babak akhir filem itu ia benar-benar membuatkan beliau ‘serik!’

NOOR Azizah bersama cucu kesayangan, Khaiza yang berusia setahun enam bulan.

“Hari pertama shooting, Pak Jamil (Allahyarham Datuk Jamil Sulong) mahu Kak Noor melakonkan babak Puteri Mawarni senyum malu-malu apabila bertentang mata dengan Raja Iskandar yang menunjukkan cincin Puteri Mawarni ada di jarinya.

“Bayangkan babak yang hanya untuk beberapa saat di filem, Kak Noor terpaksa menjalani penggambaran selama tiga jam.

“Kak Noor memang malu ketika itu tetapi untuk melakonkan babak Puteri Mawarni senyum malu-malu…memang susah sebab Pak Jamil kata tidak menepati kemahuannya.

RAJA Iskandar (Allahyarham Seniman Kuswadinata) dan Puteri Mawarni (Noor Azizah) dalam filem “Dayang Senandong” yang diterbitkan pada tahun 1966. Ketika beliau berusia 19 tahun.

“Waktu itu rasanya macam nak tarik diri, susah berlakon walaupun hanya untuk senyum malu-malu…alhamdulilla setelah tiga jam akhirnya barulah Pak Jamil kata ‘cut’ dan puas hati.

“Nasib baiklah pengarahnya Pak Jamil. Allahyarham memang seorang pengarah yang baik dan sabar. Tidak sedikitpun Allahyarham marah atau putus asa malah sentiasa memberi tunjuk ajar dan semangat sehingga Kak Noor berjaya,” cerita Noor Azizah mengimbas kembali saat pertama kali menjalani penggambaran filem.

NOOR Azizah (kiri) bersama kawan ketika bercuti ke Germany.

Sejak kemunculannya dalam filem itu, meskipun hanya dua babak Noor Azizah ditawarkan berlakon dalam 20 buah filem lagi antaranya Sri Andalas, A Go Go 67, Raja Bersiong, Kembang Layu,Perintah Seri Paduka, 6 Jahanam, Durjana, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh dan Sayang Anakku Sayang.

Bukan setakat itu, malah Noor Azizah turut berlakon dalam filem terbitan dari Thailand iaitu Vandetta dan tiga filem terbitan dari Indonesia iaitu Jangan Kau Tangisi, Malim Kundang dan Menentang Takdir.

“Menentang Takdir meninggalkan kenangan yang paling mengerikan buat Kak Noor kerana ada babak melibatkan ular.

“Sebenarnya sebelum menerima tawaran itu, Kak Noor dah beritahu kepada pengarahnya, Ratnor Timoer yang Kak Noor tidak mahu berlakon dengan babak yang melibatkan ular. Bagaimanapun apabila sampai harinya mereka mahu Kak Noor berlakon dalam babak itu kerana ular-ular itu telah ‘dijampi’ agar tidak menggigit!

Inilah pakaian hari pertama Noor Azizah sebagai Puteri Mawarni dalam babak senyum malu-malu yang mengambil masa tiga jam baru selesai.

“Mereka paksa macam mana pun, sebelum babak dimulakan Kak Noor dah lari sejauh yang boleh kerana walaupun ular plastik, Kak Noor tetap geli,” cerita Noor Azizah sambil ketawa mengingatkan tindakannya.

Bagaimanapun sesuatu yang membanggakan, selain berlakon filem terbitan Thailand dan Indonesia, Noor Azizah mencatatkan sejarah dan kenangan manis tersendiri apabila menjadi artis Malaysia pertama diundang berlakon dalam drama “Bailey’s Bird.”

Drama 26 episod yang diterbitkan pada tahun 1977 untuk siaran TV Australia menampilkan Noor Azizah sebagai Doktor Susan Lim dan Allahyarham Hussein Abu Hassan sebagai Inspektor Hamid.

Penggambaran itu banyak dilakukan di Pulau Pinang dan ada beberapa babak menjalani penggambaran di Australia. Drama tersebut khabarnya pernah disiarkan di TV3 pada sekitar tahun 1980-an.

NOOR Azizah…hari ini.

“Dalam Bailey’s Bird pun ada babak ular menjalar di kaki ketika dalam kapalterbang. Mereka pujuk Kak Noor tetapi Kak Noor memang tidak boleh melakukannya kerana telah diberitahu sebelumnya. Sebelum penggambaran yang melibatkan Kak Noor sebagai Dr. Susan Lim dengan ular dimulakan Kak Noor cabut lari,” cerita Noor Azizah.

Selain berlakon filem, Noor Azizah adalah seniwati yang banyak ditawarkan berlakon iklan antaranya Sunkist, Dunhill, Lux, May dan wajahnya pernah menghias pembalut gula-gula Kiss Me.

“Tetapi semua itu tinggal kenangan. Bagi Kak Noor dunia glamour sudah lama Kak Noor tinggalkan jauh-jauh.

“Cukuplah Kak Noor berlakon semasa zaman remaja, sekarang Kak Noor lebih seronok ‘berlakon di dapur,” cerita Noor Azizah yang pernah bercita-cita mahu menjadi pereka fesyen.

Rupanya dalam diam, Noor Azizah kini ligat di dapur dan telah mengumpul lebih 50 resipi ciptaan sendiri yang mana apabila dihidang untuk keluarga ianya menepati citarasa mereka.

Apabila diusik tidakkah beliau mahu membukukan resipi ciptaannya, sambil ketawa Noor berkata;

“Mencipta pelbagai resipi untuk keluarga memang tidak menjadi masalah tetapi untuk menerbitkan buku mungkin tidak. Sebab Kak Noor bukannya ada peminat.”

NOOR Azizah tidak dapat menahan ketawa apabila menceritakan pengalaman hari pertama di set penggambaran “Dayang Senandong” pada tahun 1966.

Apa yang pasti, Noor Azizah,73, kini bahagia menjalani kehidupan disamping suami, Datuk Nik Hussein,88, dua orang anak, Khairena,34, Khairy Azri, 30 berserta menantu, Nur Zulaikha dan cucu, Khaiza, setahun setengah.

Menyentuh mengenai bidang lakonan, Noor Azizah yang pernah mempunyai syarikat pengiklanan sendiri tetapi terpaksa tutup setelah lima tahun diusahakan kerana kebanyakan klien bukan nak berurusniaga tetapi nak menatap wajahnya, berkata;

“Cukuplah Kak Noor dah lalui hidup sebagai pelakon sebelum berkahwin. Apabila dah ada keluarga, inilah dunia Kak Noor. Mereka adalah segala-galanya.

“Apalagi pengalaman berlakon dalam filem Soal Hati sebagai Puan Zaiton iaitu emak kepada Ahmad Daniel (Datuk Afdlin Shauki) buat Kak Noor tak mahu berlakon.

“Bayangkan pukul 4 pagi baru nak balik rumah. Berlakon filem pada tahun 2000 dengan tahun 1960-an dan 1970-an amat berbeza.”

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here