Pertembungan tiga penjuru sudah pasti

0
302
fotoBERNAMA

TIGA itu pasti. Dua tidak akan berlaku. Empat, lima dan enam tidak mustahil. Ia pernah berlaku sebelum ini. Begitu situasi yang ada setakat ini menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok, 12 September 2020.

Pertembungan tiga penjuru bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dapat dinafikan kerana ia melibatkan pelbagai kelompok parti politik yang pelbagai bagi menghadapi PRN mengejut ini.

Jangkaan empat, lima dan enam itu akan turut melibatkan calon Bebas dan mereka yang mungkin kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon oleh parti atau tidak puas hati dengan pembahagian kerusi.

Kelompok pertama sudah pastilah Warisan atau Warisan Plus yang melibatkan Warisan, PKR, DAP, UPKO, Amanah yang akan bertanding di semua kerusi. Ini diikuti kelompok Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Bersatu, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan PBS bersama Perikatan Nasional (PN).

Kelompok ketiga adalah Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan bekas Menteri Luar, Anifah Aman yang akan bertanding di semua kerusi yang dipertandingkan.

Itu tidak termasuk parti lain ynag tidak menyertai mana-mana kelompok seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) dan parti lain yang mungkin membuat keputusan pada saat akhir. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku kerana politik di Sabah agak unik berbanding di Semenanjung.

Berdasarkan situasi ini, pertembungan tiga penjuru tidak dapat dielakkan kecuali berlaku kertas pencalonan ditolak atas sebab-sebab yang wajar bukannya masalah teknikal seperti pernah berlaku sebelum ini.

Adakah sentimen Sabah akan menguasai PRN kali ini? Mampukah UMNO melalui BN mengembalikan kejayaannya sebelum ini? Walaupun ada yang melihat PRN ini sebagai pertembungan Warisan Plus dan BN PN tetapi kehadiran parti tempatan lain tidak boleh dipandang mudah.

Sebelum ini parti tempatan seperti USNO (dibubarkan dengan menyertai UMNO), PBS dan Warisan telah membuktikan pengaruh mereka sebagai pemerintah. Kali ini parti yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak dijangka mengetuai pembentukan kerajaan.

Mungkin dalam isu sentimen dan parti tempatan ini, PCS telah mengambil pendirian untuk bersendirian.

Anifah sebelum ini berkata, PCS adalah parti tempatan yang tidak bergabung dengan mana-mana parti dan mampu memenangi hati pengundi. Baginya, parti tempatan adalah apabila semua anggotanya terdiri daripada orang Sabah dan bertapak di Sabah.

“Kita tidak bekerjasama dengan DAP, kita tidak bekerjasama dengan PKR, kita tidak bekerjasama dengan UMNO, kita tidak bekerjasama dengan Bersatu… kami berdiri sendiri sebab semua kami adalah rakyat Sabah.

“Jadi kenapa kita mahu berkerjasama dengan parti lain sedangkan kita mampu untuk menubuhkan dan membentuk kerajaan… itu sahaja,” katanya selepas majlis pengumuman calon-calon bagi 70 kerusi DUN PCS semalam.

Beliau berkata, PCS bagaimanapun membuat pengecualian dan terbuka untuk menerima parti-parti tempatan yang mahu menyertai mereka.

PCS yang dianggap masih ‘baharu’ nampaknya cuba menonjolkan diri sebagai parti tempatan yang ‘benar-benar tempatan’ yang tidak bergabung dengan mana-mana gabungan. Adakah strategi ini mampu menarik perhatian pengundi?

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here