JAIS laksana sistem ‘Evokhutbah’

0
200
Mohd. Shahzihan Ahmad (dua dari kiri) melihat sistem Evokhutbah pada majlis pelancarannya di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mencipta sejarah kerana menjadi agensi kerajaan pertama melaksanakan sistem penulisan khutbah secara atas talian kepada umat Islam.

Sistem ‘Evokhutbah’ tersebut memberi peluang kepada orang ramai menyumbang idea dan menghasilkan penulisan khutbah berkualiti yang akan digunapakai di seluruh masjid negeri ini.

Menurut Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad,sistem mutakhir itu membantu para penulis khutbah menghasilkan karya dan citra Islam terbaik dalam tempoh bacaan 15 minit.

“Kaedah penulisan yang padat selain huraian yang tepat dan jelas dapat dilakukan dengan menggunakan Evokhutbah.

“Selain itu, ia menjadi garis panduan penulisan atas talian yang akan diperhalusi Jawatankuasa Khutbah negeri tanpa mengubah susunan fakta, bahasa dan plot penceritaan peribadi penulis asal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan sistem itu di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Mohd.Shahzihan berkata, penerimaan teks khutbah sebelum ini dilakukan secara manual dan mengambil tempoh lama untuk diproses bagi sesebuah penerbitan.

“Namun, pihak jawatankuasa kini dapat melakukan pindaan dan membawa teks khutbah yang terpilih ke Mesyuarat Jawatankuasa Khutbah negeri untuk penilaian dan kelulusan.

“Menerusi Evokhutbah, pemilihan dan penerbitan teks khutbah lengkap dapat dilaksanakan lebih pantas dan sistematik,” katanya.

Beliau pada dasarnya amat mengalukan penyertaan orang ramai untuk menyumbang karya sebagai penulis teks khutbah.

“Ia terbuka kepada individu beragama Islam lelaki dan wanita, warga negara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

“Bagi penulisan khutbah yang lulus untuk dibacakan, penulis akan menerima insentif bernilai RM400 bagi teks khutbah Jumaat manakala RM600 bagi penulisan teks khutbah Hari Raya,” katanya.

Umat Islam yang berminat boleh menghubungi Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid JAIS di talian 03-5514 3673 atau menghantar kiriman emel kepada [email protected].

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here