Gol Safawi ‘Terbaik ACL Dekad Ini’

0
6527
SAFAWI RASID
Oleh Abdul Hafiz Ahmad

JARINGAN secara melengkung Safawi Rasid sejauh 22 meter terhadap Shandong Luneng pada 2019, dipilih majoriti para pengunjung the-afc.com sebagai ‘Gol Liga Juara Asia (ACL) Dekad Ini’.

Sayap kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu meraih 34 peratus atau 6,777 daripada 19,933 undi pada laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila pengundian pusingan akhirnya ditutup hari ini sejak dibuka 5 September lalu.

Sepakan deras berbisa Safawi yang juga tonggak Harimau Malaya, menewaskan penjaga gol kelab China itu, Wang Dalei setelah mendapat umpanan jauh Afiq Fazail pada minit ke-59 perlawanan Kumpulan E ACL pada 9 April 2019.

Dia sempat melarikan bola sambil disaingi pemain tuan rumah, Wu Xinghan sebelum memukau 11,602 hadirin Pusat Sukan Olimpik Jinan, Shandong, China dengan jaringannya biarpun JDT akhirnya terpaksa akur untuk tewas 2-1.

Jaringan anak jati Dungun, Terengganu berusia 23 tahun ini menewaskan dua pencabar terdekat pengundian ‘Gol ACL Dekad Ini’, Abdulaziz Al Dawsari (Al Hilal lawan Al Ittihad) yang beroleh 14 peratus undi dan Wesley (Al Hilal lawan Al Ain), 13 peratus, masing-masing pada 24 Mei 2011 dan 23 April 2013.

Kejayaannya juga dianggap satu kejutan memandangkan dia hanya beroleh jumlah undi keempat terbanyak, 14 peratus atau 15,313 daripada 109,381 undi dalam pusingan separuh akhir pengundian di antara 10 calon finalis, bulan lalu.

Pada 16 Mei lalu, gol Safawi itu turut dinobatkan the-afc.com sebagai ‘Penjaring Melengkung Daripada 5 Terbaik’ yang menewaskan empat pencabar setelah memperoleh 79,751 undi atas talian atau 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 159,502 undi.

Sebanyak 10 gol pusingan akhir pengundian ini dinilai sepanjang saingan ACL sejak 2010 hingga 2019 dengan sorotan semula videonya disajikan the-afc.com untuk memudahkan pemilihan mengikut cita rasa para pelayarnya.

World Class Goal Safawi Rashid JDT VS Shandong Luneng 9 April 2019

Enjoy the videos and music you love, upload original content, and share it all with friends, family, and the world on YouTube.

Calon-calon lain Gol ACL Dekad Ini:

Mahmoud Khamis (Al Nasr lawan Tractorsazi Tabriz, 17 Mei 2016)
Abdulmajeed Al Swat (Al Taawoun lawan Lokomotiv, 25 April 2017)
Mame Thiam (Esteghlal lawan Zobahan, 15 Mei 2018)
Romarinho (Al Ittihad lawan Al Rayyan, 7 Mei 2019)
Mehdi Torabi (Persepolis lawan Al Sadd, 20 Mei 2019)
Shojae Khalilzadeh (Persepolis lawan Al Ahli, 9 April 2019)
Andranik Teymourian (Esteghlal lawan Buriram United, 18 September 2013)

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here