Indonesia, Korea tarik diri Piala Thomas-Uber, Malaysia teruskan?

0
265
SKUAD Piala Thomas dan Uber Malaysia kehilangan Indonesia dan Korea Selatan sebagai lawan peringkat Kumpulan A dan B. - Foto BAM

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

PUSINGAN akhir badminton Piala Thomas dan Uber 2020 yang dijadualkan di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini semakin hilang serinya malah mungkin terpaksa ditunda ekoran penarikan diri dua kuasa besar, Indonesia dan Korea Selatan semalam.

Keputusan Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI) dan Persatuan Badminton Korea (KBA) itu disahkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada laman sesawang rasminya, bwfbadminton.com, hari ini.

Sehingga kini sudah lima negara berbuat demikian termasuk Australia, Taiwan dan Thailand, beberapa hari lalu yang kebanyakan alasannya berkisar kepada situasi semasa pandemik maut Covid-19 yang tidak menentu di seluruh dunia.

Pada 3 Ogos lalu, skuad negara yang juga pilihan kelima/kelapan Piala Thomas diundi dengan Indonesia, musuh tradisinya yang juga juara 13 kali dalam Kumpulan A selain England dan Belanda.

Malah Hong Kong dan Singapura yang cuba diundang sebagai pasukan pengganti, dilaporkan telah menolak tawaran BWF itu.

Penarikan diri Indonesia, Korea Selatan dan Australia turut mengakibatkan hanya tinggal Malaysia dalam Kumpulan B Piala Uber.

Malaysia masih bersikap tunggu dan lihat dengan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh pada Selasa lalu berkata, skuad negara tidak berhasrat untuk menarik diri daripada kejohanan berpasukan lelaki dan wanita dunia itu.

PIALA Thomas (kanan) dan Piala Uber bakal memasuki edisi ke-31 dan 28, bulan depan. – Foto BWF

Bagi Piala Uber, skuad negara turut diundi dalam Kumpulan B dengan Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

Kini yang tinggal atau belum membuat pengesahan untuk terus bertanding atau sebaliknya di Arena Ceres, Aarhus nanti ialah juara bertahan Piala Thomas dan Uber, China dan Jepun.
Lain-lain termasuk tuan rumah Denmark, England, Belanda, Perancis, Kanada, India, Jerman, Algeria, Mesir dan Sepanyol.

Kompas.com dalam laporan awal pagi ini, memetik kenyataan Setiausaha Agung PBSI, Achmad Budiharto, semalam: “PBSI memutuskan untuk tidak menyertai Piala Thomas dan Uber kerana pandemik Covid-19.

“Para pegawai dan atlet bimbang dijangkiti Covid-19 ketika perjalanan atau di venue. Mereka juga keberatan untuk menyertainya kerana BWF tidak memberi jaminan mereka akan bebas daripada virus itu,” katanya.

Budiharto menambah, ketiadaan sokongan penonton di venue turut menyumbangkan alasan penarikan diri Indonesia.

“Denmark merupakan satu daripada 59 negara yang melarang kemasukan warganegara Indonesia ketika pandemik Covid-19. Kedutaan Denmark masih tidka meluluskan permohonan visa kami (untuk menyertai kejohanan itu).

“Penarikan diri beberapa negara daripada Piala Thomas dan Uber turut menjejaskan nilai daya saing kejohanan ini,” katanya.

Keputusan PBSI itu diluluskannya di samping Pengerusi, Wiranto dan timbalannya, Alex Tirta selain ketua pembangunan pemain dan bekas jagoan wanita Indonesia, Susi Susanti.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here