Polis Greece guna gas pemedih mata terhadap migran, pelarian

0
244

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

POLIS di Pulau Lesbos, Greece menggunakan gas mata ke atas migran dan pelarian yang membantah pemindahan ke kem baharu setelah kem Moira di mana mereka tinggal terbakar pada Rabu lalu.

Susulan kejadian itu banyak keluarga terpaksa tidur di padang dan di atas jalan raya.

Lebih 13,000 pelarian migran hidup melarat dalam kem yang sesak itu sementara menunggu peluang untuk ke tempat lain, lapor bbc.com.

Kem baharu telah didirikan sebagai tempat perlindungan sementara oleh pihak berkuasa.

Menurut polis setakat ini kira-kira 200 tiba di kem baharu itu, sementara berpuluh keluarga beratur di luar menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan keselamatan.

Kem Moira hanya mampu menampung seramai 3,000 orang, tetapi pelarian dan migran dari 70 negara turut berada di situ, kebanyakannya dari Afghanistan.

Jumaat lalu beberapa kumpulan migran dan pelarian telah menghampiri sekatan laluan keluar dari kem tersebut untuk mengadakan tunjuk perasaan dan mendesak diberikan kebebasan, selain membantah pembinaan kem baharu.

Kehadiran tidak terkawal migran dan pelarian ke pulau itu dibantahi keras oleh penduduk tempatan yang bertindak menyekat penghantaran bantuan kepada mereka.

Persoalan bagaimana untuk menangani ketibaan terlalu ramai migran dan pelarian ke Itali dan Greece telah menyebabkan perpecahan dalam Kesatuan Eropah (EU) sejak beberapa tahun.

Kedua-dua negara menuduh negara-negara kaya gagal melakukan lebih banyak, sementara beberapa negara di bahagian tengah dan timur Eropah pula enggan menerima cadangan untuk mengambil kuota pendatang.

Menteri Migrasi Greece Notis Mitarachi berkata kem baharu dibina untuk menempatkan pelarian dan migran yang kehilangan tempat tinggal di pulau itu.

Juga pada Jumaat lalu Jerman telah mengumumkan kesediaan 10 negara EU untuk menerima 400 kanak-kanak pelarian yatim piatu yang berada di kem Moira.

Bagaimana pun, sekumpulan badan amal dan NGO Jerman mahukan supaya kerajaan Jerman membantu bukan setakat pelarian anak yatim, tetapi juga yang lain.

Keadaan memalukan di Kem Moira dianggap sebagai kegagalan dasar pelarian EU.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here