Universiti harus faham fungsi Persatuan Akademik Universiti

    0
    711
    Barisan baharu kepemimpinan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (Kongres MAAC) bagi tahun 2020-2022 selepas pemilihan di mesyuarat agungnya di Auditorium ASWARA pada 8 September 2020.

    Oleh Prof Madya Dr Sarimah Ismail

    KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan Tinggi , Datuk Dr. Noraini Ahmad menggesa pengurusan Universiti Awam (UA) memahami fungsi Persatuan- Persatuan dan Kesatuan-kesatuan Akademik yang terdapat di universiti masing-masing.

    Gesaan ini dibuat semasa majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (Kongres MAAC) di Auditorium ASWARA, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Dalam teks ucapan yang disampaikan oleh timbalan menterinya, Datuk Dr. Mansor Othman, beliau berkata ahli akademik adalah aset yang amat bernilai kepada negara dan masyarakat.

    “Oleh itu pengurusan UA perlu melihat kewujudan persatuan-persatuan akademik universiti boleh memainkan peranan “Check and balance” bukan sebagai satu ancaman kepada pucuk pimpinan pengurusan universiti,” katanya.

    Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat; wakil Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) serta Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (GAKUM).

    Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman mewakili menteri, Datuk Dr Noraini Ahmad berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (Kongres MAAC) di Auditorium ASWARA 8 September 2020.

    Menurut Dr Noraini, persatuan-persatuan akademik perlu dilihat sebagai satu entiti yang dapat turut sama dalam memberi input-input yang berguna bagi memastikan kecekapan dan kelicinan pentadbiran universiti terlaksana serta sebagai rakan strategik dalam memastikan kecemerlangan IPT masing-masing.

    Katanya, persatuan-persatuan akademik sama ada di peringkat universiti atau di peringkat nasional, seperti Kongres MAAC adalah tunggak penghubung utama antara pihak pengurusan IPT dan para akademik IPT.

    “Justeru, Kongres MAAC yang merupakan gabungan persatuan UA Malaysia boleh bersama-sama dengan KPT bagi bertindak merealisasikan usaha-usaha ke arah memertabatkan kesarjanaan ahli akademik, kualiti graduan, kebolehpasaran graduan, sumbangan kepada ekonomi dan survival universiti,” jelas beliau.

    Dr Noraini meletakkan harapan supaya Kongres MAAC akan tetap dan terus menjadi wadah dan suara semua ahli akademik di Malaysia baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.

    Menurut beliau lagi, pihak KPT sedang berhubung rapat dengan Kongres MAAC untuk melihat dan mencari penyelesaian kepada isu-isu yang tertangguh berkait dengan tuntutan dan pandangan yang pernah diutarakan oleh Kongres MAAC.

    Para hadirin yang hadir di Mesyuarat Agung Tahunan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (Kongres MAAC) di Auditorium ASWARA, 8 September 2020.

    Beliau percaya, komunikasi sebegini akan mengurangkan jurang di antara pembuat dasar di KPT, Universiti Awam dan staf akademik di seluruh universiti.

    Di antara yang kini sedang dipertimbangkan ialah isu berkaitan AUKU, penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Tinggi, isu kaedah kenaikan pangkat dan penambahbaikan skim perkhidmatan pensyarah universiti awam dan beberapa isu perlaksanaan di universiti awam yang masih belum selesai.

    Dengan adanya kerjasama sebegini, segala isu dan cabaran yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik demi kepentingan staf akademik, kecemerlangan pendidikan tinggi, universiti dan kementerian khususnya serta kepentingan pembangunan negara amnya.

    Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman (tengah) bergambar bersama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak (dua dari kiri), Presiden MAAC, Datuk Prof Dr Mohd Idrus Mohd Masirin (dua dari kanan) dan Presiden Cuapacs, Adnan Mat (kanan sekali).

    Barisan Kepemimpinan Baharu Kongres MAAC

    Sementara itu, dalam pemilihan selepas mesyuarat agung Kongres MAAC itu menyaksikan Profesor Datuk Dr. Mohd Idrus Mohd Masirin dari Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) mengekalkan jawatan selaku Presiden MAAC, manakala Profesor Madya Datin Dr. Sarimah Ismail dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dipilih sebagai Timbalan Presiden bagi menerajui Kongres MAAC bagi tahun 2020-2022.

    Lain-lain yang terpilih dalam barisan Exco Kongres MAAC ialah Naib Presiden 1, Profesor Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan (UUM), Naib Presiden 2, Profesor Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah (UnisZA), Naib Presiden 3, Datuk Profesor Dr. Omar Shawkataly (USM).

    Setiausaha Agung, Prof Madya Dr Fauzilah Salleh (UnisZA), Penolong Setiausaha Agung, Norashikin Abd Hamid (UTHM), Bendahari, Dr Abd Rahman Tamuri (UTM),
    Penolong Bendahari, TS. Muhammed Noor Hashim (UTEM).

    Ahli-ahli Jawatankuasa pula terdiri daripada Prof Madya Dr. Rusdi Omar (UUM), Prof Madya Dr. Burhanudin Abdullah (UnisZA), Dr. Ahmad Sufril Azlan Mohamed (USM), Profesor Madya Dr. Irwan Mohd Subri (USIM), Profesor Madya Dr. Aminuddin Ruskam (UTM), Mohd Hairul Ab Rahim (UMP) dan Profesor Madya Mohd Ariff Mat Hanafiah (UTEM) dan Ahmad Faizal Mohd Fiah (UiTM).

    — BebasNews
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here