Dahulu ‘kuli’ kini punya kilang automotif bernilai lebih RM3juta

    0
    3996
    REKABENTUK kilang Lan Automotive & Engineering dari ilham pelukis.

    Oleh MUZLINA ABU BAKAR/FOTO: BOB BUHAIRI

    PEPATAH Melayu ada berkata ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’ dan berpegang kepada pepatah itu, selepas tamat tingkatan lima pada 2002, beliau meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki menyara keluarga di kampung.

    Dengan duit hanya cukup untuk tambang bas dari Pasir Puteh, Kelantan ke Kuala Lumpur, beliau cekalkan hati melangkah pergi demi sebuah kehidupan yang lebih sempurna.

    Ketika itu, didalam benaknya hanya terfikir untuk mengubah kehidupan keluarga agar ibunya, Rohaya Mat Isa dan adiknya, Mohd. Rafie di kampung dapat hidup lebih selesa.

    “Saya tinggalkan kampung pada usia 17 tahun dan waktu itu saya hanya ada duit cukup-cukup untuk tambang bas. Sepanjang perjalanan, saya hanya teguk air kosong yang emak bekalkan untuk saya.

    Kilang Lan Automotive & Engineering Sdn. Bhd. yang terletak Pandan Indah Industry Park akan mula beroperasi pada Mac 2021.

    “Sampai sahaja di perhentian bas saya bertanya orang untuk ke Taman Teratai dan alhamdulillah kerana saya mempunyai sepupu, Jayjay yang sanggup memberi saya ruang untuk tumpang berteduh,” cerita Mohd. Rajes Muhammad Hanipah,35, atau lebih dikenali Lan.

    Sesampai di Taman Teratai, Lan tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya berusaha untuk bekerja dari sebuah kedai makan kemudian beralih ke tempat lain sehinggalah akhirnya beliau diterima bekerja di sebuah bengkel kereta milik taukeh berketurunan Cina.

    Apabila berpeluang bekerja di bengkel berkenaan Lan tidak pernah terfikir untuk berhenti kerja kerana memang minatnya untuk memilikki sebuah bengkel sendiri suatu hari nanti.

    Beliau tidak pernah persoalkan tentang gaji malah sanggup menjadikan bengkel sebagai tempat tinggalnya diatas pelawaan taukeh berkenaan.

    Siapa sangka selama empat tahun bekerja tanpa memikirkan lelah sebaliknya penuh sabar dan tekun mempelajari pelbagai aspek permotoran atau automotif yang menjadi minatnya akhirnya kini, Lan berjaya memilikki kilang pembuatan peralatan automotif dengan pelaburan melebihi RM5juta.

    Semuanya bermula apabila Lan mendapat pinjaman Tekun sebanyak RM30,000 yang mana membolehkan Lan membuka bengkelnya sendiri yang diberi nama Lan Automotive & Engineering Sdn. Bhd. di premis seluas 3,000 kaki persegi di Taman Teratai, Ampang pada tahun 2009.

    Dengan 12 orang pekerja mahir dan dua orang pekerja bahagian operasi, Lan Automotive berjaya mencecah jualan tahunan sebanyak RM3juta pada tahun 2019.

    Brek cakera yang direkacipta oleh Lan.

    Bercerita tentang perjalanan hidupnya, Lan yang amat disenangi oleh para pekerjanya kerana sifat mesra dan merendah diri dan anak sulung daripada dua beradik berkata;

    “Sejak sekolah saya memang minat dengan automotif. Kalau nak ambil kursus ia memerlukan duit yang banyak dan saya bukan berasal dari keluarga yang senang.

    “Disebabkan itu, setelah menduduki SPM saya nekad ke KL kerana impian saya hanya satu untuk memilikki bengkel dan kilang sendiri.

    “Alhamdulillah dengan usaha yang tidak mengenal erti kalah dan dengan izin-Nya, saya akan mempunya kilang sendiri tahun hadapan.”

    Beliau telah membeli sebuah kilang yang bernilai lebih RM3juta untuk menjadikan tahun 2021 sebagai era baharu dalam perniagaannya.

    Kilang Lan Automotive & Engineering Sdn. Bhd. yang terletak di Pandan Indah Industry Park dijangka akan beroperasi mulai Mac tahun hadapan.

    “Insyaa-Allah apabila kilang baharu mula beroperasi, saya mensasarkan pengeluaran dan jualan akan meningkat tiga kali ganda dari perniagaan sekarang dengan sasaran lebih RM10 juta setahun untuk tempoh 5 tahun beroperasi menjelang tahun 2025,” kata Lan sambil mengucap syukur diatas anugerah-Nya sehingga beliau mampu membina empayer sendiri dalam tempuh 11 tahun.

    Lan bukanlah Bos yang asyik memerintah sebaliknya sentiasa menunjuk ajar para pekerjanya agar menjadi pekerja yang mahir.

    Lan Automotive & Engineering Sdn. Bhd. akan mula melebarkan perniagaannya bukan sahaja menjual dan membaiki peralatan kereta terus kepada pelanggan, tetapi ia juga akan membekalkan peralatan pembuatannya seperti ‘Bush’, Disc Breaks, Clipper dan lain-lain hasil pengeluarannya kepada bengkel-bengkel kereta di seluruh negara.

    Hasil usahanya, Lan juga mendapat sokongan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dengan kemudahan bantuan kewangan.

    Sementara itu pada tahun 2018, PUNB telah menyenaraikan beliau antara 50 usahawan berjaya dibawah didikan PUNB.

    Bersandarkan usaha dan kejayaannya ini, Lan bukan sahaja berharap mendapat perhatian dari Kementerian yang berkaitan bagi membantu beliau untuk mendapatkan mesin-mesin pembuatan yang lebih besar dan berinovatif.

    Malah beliau juga berharap dapat memberi peluang kepada anak muda untuk bekerja kerana apabila Lan Automotive & Engineering Sdn. Bhd. beroperasi di premis yang baharu, beliau memerlukan 30 orang pekerja mahir dan separuh mahir.

    Dalam menuju kearah itu, beliau kini dalam proses permohonan untuk mendapatkan mesin pembuatan dari SME Corp dan SME Bank dgn nilai RM1.5juta.

    Beliau yakin mampu mengeluarkan kaliper brek dengan rekabentuk sendiri dan dijangka akan berada di pasaran sebelum berakhirnya 2020.

    Mohd. Rajees Muhammad Hanifah bersama isteri, Shehzadi Khatijah dan anak mereka, Yusuf Ayobee.

    Apabila ditanya harapan dan impiannya, tanpa teragak-agak Lan memberitahu;

    “Saya harap bidang kejuruteraan automotif ini dapat diceburi oleh anak muda yang berkemahiran tinggi bagi mengimbangi penyertaan bumiputera dalam bidang ini.

    “Bukan itu sahaja, malah dengan adanya kilang itu nanti saya bersedia melatih dan memberi kursus bagi pelajar vokasional dalam bidang automotif demi
    melahirkan lebih ramai lagi anak muda yang berkemahiran tinggi.

    “Apa yang saya lakukan bukanlah untuk mengejar nama tetapi itu adalah sumbangan saya untuk negara saya, Malaysia yang saya sayangi.”

    Sementara itu, ketika ditanya tentang keputusan SPMnya, Lan yang kini hidup bahagia disamping isteri tercinta, Shehzadi Khatijah Sellahuddin Ayobee,30, dan anak
    mereka, Yusuf Ayobee, setahun, sambil ketawa berkata;

    “Sampai hari ini saya tak ambil pun keputusan SPM. Saya tak tahu saya dapat gred berapa. Kalau saya ambil keputusan SPM saya dah jadi ‘orang besar’ agaknya.”

    BebasNews
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here