MYTV kini ada 4 saluran radio Sabah, Sarawak

0
786

Oleh AMREE AHMAD

MERIAH… Menjelang sambutan Hari Malaysia 2020 pada 16 September, penyedia platform siaran digital percuma tempatan, MYTV mula menyediakan empat saluran radio dari Sabah dan Sarawak.

Stesen berkenaan iaitu Sabah FM dan Sabah V FM dari Sabah serta Sarawak FM dan Wai FM dari Sarawak dapat ‘didengar’ menerusi dekoder MYTV bermula 12.01 tengah malam 12 September lalu.

Empat saluran itu merupakan stesen tempatan Jabatan Penyiaran Malaysia di bawah kendalian terus Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang berpusat di Kota Kinabalu, Sabah serta Kuching, Sarawak.

Sabah FM ialah stesen berbahasa Melayu dialek tempatan negeri ‘bawah bayu’ itu yang dilancarkan secara rasmi pada 1955 lepas dan ketika ini dapat diikuti melalui 12 gelombang FM di seluruh Sabah.

Ia bersiaran dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam serta berbeza daripada Sabah V FM yang ke udara 24 jam tetapi dalam pelbagai bahasa iaitu Inggeris, Cina, Kadazan, Bajau, Dusun dan Murut.

Sementara Sarawak FM yang sejarahnya bermula pada 1954 dalam bahasa Melayu dialek tempatan itu dipancar menerusi 18 gelombang FM di seluruh ‘bumi kenyalang’ tersebut dan beroperasi 24 jam.

Seperti jirannya, RTM Sarawak memiliki stesen bahasa etnik bumiputera iaitu Wai FM yang khusus bagi masyarakat Iban dan Bidayuh, namun siarannya cuma dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Inisiatif MYTV disambut baik netizen tempatan, khususnya penduduk di luar bandar ekoran liputan siaran stesen itu melalui pemancar FM selama ini tidak begitu luas di kawasan pedalaman terpencil.

Malahan ia juga ‘ubat’ kerinduan penduduk dua negeri itu yang bekerja atau belajar di Semenanjung Malaysia kerana selama ini hanya ikuti stesen tersebut melalui platform laman sesawang rasmi RTM.

Susulan itu, pengguna MYTV kini ada 14 saluran radio termasuk empat stesen swasta milik Media Prima Berhad (MPB) iaitu Hot FM, Kool FM, Fly FM dan One FM yang ke udara sejak 28 Ogos lalu.

Sewaktu dilancarkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2016, MYTV ketika itu hanya mempunyai stesen Nasional FM, Klasik FM, Traxx FM, Ai FM, Minnal FM dan Asyik FM.

Pada masa ini, MYTV sudah pun ada 16 saluran televisyen dengan paling baharu iaitu Awesome TV yang mula bersiaran sejak 3 Ogos lalu di samping lima saluran milik RTM dan tujuh saluran MPB.

Difahamkan pihak MYTV sedang berusaha untuk tambah lagi saluran radio dan televisyen melalui platform penyiaran digital percuma itu untuk dinikmati lebih 6.2 juta isirumah B40 di seluruh Malaysia.

MYTV yang diwujudkan di bawah Projek Pendigitalan Nasional bermatlamat bagi merapatkan jurang penyiaran digital rakyat miskin dan tidak mampu langgan siaran berbayar bulanan satelit atau kabel.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here