Pemergian Pak Andak dirasai penggiat seni

0
451
ALLAHYARHAM Idris Mat Diah sinonim dengan watak Pak Andak dalam drama Tujuh Hari Mencintaiku 2.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

RATA-RATA peminat drama Tujuh Hari Mencintaiku 2, kagum dengan sifat sabar Pak Andak lakonan Idris Mat Diah. Bukan saja penonton menyenangi karakter Pak Andak itu, malah para pelakon yang terlibat dalam drama arahan Jamal Khan turut menyenangi sifat beliau ketika di lokasi.

Kini Pak Andak atau Idris, 61, telah tiada dan pergi menemui Illahi, kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

Menurut anak arwah, Alia, ayahnya disedari tidak sedar diri sekitar pukul 2 pagi tadi, mereka menghubungi pihak ambulans dan kemudian pasukan perubatan mengesahkan ayahnya meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi.

Beliau turut memaklum dua tiga hari sebelum ini, arwah tidak mempunyai selera makan.

Kata Alia, jenazah dibawa ke Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong untuk pengurusan solat jenazah dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, sebelum Zuhur.

Alia turut memaklumkan jika arwah ada berhutang pada sesiapa beliau memohon agar menghubungi pihak waris bagi membincangkan berkenaan perkara tersebut.

“Saya mohon jika ayah ada hutang sesiapa untuk hubungi saya,” kata Alia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Seniman Malaysia.

Arwah yang sinonim dengan karakter bapa dan datuk itu juga pernah muncul dalam drama Cucu Tauke Beras, Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap. Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Sementara itu, pelakon Fauziah Ahmad Daud, dalam Facebooknya hari ini turut berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan arwah.

“Dapat berita abang Idris Mat Diah dah pulang kepada Ya Khaliq. Salah seorang aktor yang saya minat, segan dan amat-amat saya hormati.

“Berkongsi rasa bersama Allahyarham di dalam telemovie Bila Bulan Mengambang pada tahun 90-an, banyak yang saya pelajari daripada arwah. Beliau adalah seorang aktor yang sangat merendah diri tapi ilmunya luas sebagai seorang aktor.

“Berehatlah abang Idris di negara abadi, urusan abang di dunia sudah selesai. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa Allahyarham dan di tempatkan roh Allahyarham Idris Mat Diah di dalam golongan orang-orang yang beriman dan para solihin. Amin,” katanya.

Pemergian Idris turut dirasai oleh Siti Rosmizah Semail, penulis novel 7 Hari Mencintaiku dan juga penerbit drama tersebut. Menerusi Instagram, Siti Rosmizah  mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Idris.

“Assalamualaikum, Pak Andak dalam kenangan. Saya bagi pihak seluruh team 7 Hari Mencintaiku 2 mengucapkan takziah pada keluarga arwah abg Idris. Innalilahiwainailahirojiun…Abang Idris Mat Diah telah kembali ke rahmatullah pagi ini. Sama-sama kita doa semoga roh beliau dicucuri.

“Pak Andak satu nama yang juga memberi impak dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2. Semasa penggambaran drama 7 hari pun beliau dah sakit tapi tetap bersemangat untuk menghabiskan babak-babak beliau. Moga abang Idris tenang di sana,” tulisnya.

Sementara itu, pelakon Siti Saleha yang memegang watak Mia Adriana dalam drama terbitan SR One Sdn. Bhd., itu turut merasai kehilangan pelakon berkaliber tersebut.

“Kami adalah sebuah keluarga yang sebenar. Pak Andak, kami akan merindui anda selalu. Salam takziah kepada keluarga arwah. Al-fatihah,” tulisnya dalam Instagram.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here