Perang ‘rebut kerusi’ di Sabah cukup meriah

0
253
fotoBERNAMA

Oleh Ahmad Abd Hamid

KATA orang, ‘Lagi ramai lagi meriah’. Jika begitu, kemeriahan inilah yang bakal dirasai dalam Pi lihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan pada 26 September ini.

Bayangkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka, 11 orang akan bertanding, terdiri daripada calon-calon parti utama dan Bebas. Mungkin Bengkoka ada keistimewaan sendiri sehingga begitu ramai mahu mencuba nasib. Kerusi DUN Inanam juga tidak mahu ketinggalan. Sejumlah 10 calon bertanding. Seperti juga Bengkoka, Inanam mungkin ada tarikan sendiri sehingga menjadi rebutan ramai calon.

Yang pasti persaingan di Bengkoka dan Inanam mencatat sejarah sebagai DUN ditandingi paling ramai calon dalam sejarah pilihan raya Malaysia. Persaingan tiga atau empat penjuru dalam pilihan raya dianggap biasa. Tetapi jika sehingga 10 atau 11 memang luar biasa. Ini menambah warna warni PRN Sabah kali ini.

Selesai penamaan calon pada 12 September, sejumlah 446 calon disahkan bertanding mewakili 16 parti politik, termasuk 56 calon Bebas, untuk merebut 73 kerusi.

Nampaknya usaha mengelakkan ‘kawan lawan kawan’ juga tidak menjadi kenyataan sepenuhnya. Persaingan sesama sendiri antara Barisan Nasional (BN) dengan sekutunya, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berlaku di 17 DUN.

Satu aspek yang juga pasti menarik perhatian ialah ketiadaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa
Aman dalam PRN kali ini. Nama beliau tercicir. Menurut Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datuk Bung Moktar Radin, Musa tidak disenaraikan kerana beliau tidak minta untuk bertanding.

Ini agak menghairankan kerana sebelum penamaan calon Musa menyebut mengenai hasrat ingin bertanding. Cuma beliau membayangkan akan bertukar angin daripada kerusi Sungai Sibuga yang dipegangnya sejak 1994 ke kerusi Sungai Manila.

Namun sehingga saat akhir pencalonan ditutup, Musa tidak mengemukakan kertas pencalonan walau di mana-mana DUN. Ini mengesahkan beliau tidak bertanding.

Agak janggal Musa tiada dalam senarai kerana beliau dianggap orang yang bertanggung jawab menarik sokongan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti lain untuk memperoleh majoriti bagi mengambil alih kerajaan pimpinan Warisan.

Namun usaha ini gagal apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal bertindak memohon dan mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN.

Musa dan penyokongnya membawa kes pembubaran ini ke Mahkamah Tinggi tetapi ditolak. Rayuan ke Mahkamah Rayuan juga ditolak. Ini semua membayangkan semangat tinggi Musa untuk mengambil alih kerajaan dan terus aktif dalam politik.

Oleh itu ketiadaan beliau dalam PRN kali ini memang menimbulkan persoalan. Selain alasan yang telah diberi oleh Bung Moktar, apa sebab sebenar Musa tercicir?

Adakah ini juga bermakna karier politik Musa sudah sampai ke penghujung? Atau adakah beliau sekadar mahu berehat dan membuat ‘come back’ kemudian? Sukar ditafsir apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Namun gendang perang sudah dipalu. Warisan dan parti sekutu pasti mahu mempertahankan kuasa. BN bersama gabungannya pula pasti mahu megambil kembali kuasa yang hilang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Rakyat Sabah pula akan menjadi hakim.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here