Gerakan tidak perlu ‘tumpang’ di mana-mana ‘hotel’

0
411
Dominic Lau

SEKALI air bah sekali pantai berubah. Begitulah juga yang berlaku dalam dunia politik tanah air apabila kerajaan Pakatan Harapan ( PH) ‘melepaskan’ kuasa dan membuka laluan kepada kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

Perubahan kepemimpinan kerajaan juga membawa pelbagai perubahan pendirian dan tindakan sama ada melibatkan anggota parti, pemimpin dan organisasi politik

Lompat melompat yang digelar katak, letak jawatan, sembunyi di bawah tempurung, keluar parti malahan ‘lari meninggalkan keluarga besar’ yang sedang dilanda ‘kesusahan dan kesedihan’ menjadi lumrah parti politik dan orang politik. Kononnya mahu mencari hala tuju baharu.

Barisan Nasional (BN) turut terkesan. Banyak ‘katak’ melompat atau mencari tempurung untuk bersembunyi. Parti komponen juga sama, cabut lari. Gerakan juga turut serta. BN tidak menangisi pemergian Gerakan kerana dalam politik tidak ada musuh dan kawan yang kekal lebih-lebih lagi ketika dalam keadaan sukar.

Semalam, Gerakan yang ‘lari’ daripada BN pada 23 Jun 2018, lebih sebulan selepas pilihan raya umum (PRU) menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan PN yang dianggotai Bersatu, Pas, PBS dan STAR.

Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan berkata, keputusan itu diambil setelah dipersetujui semua ahli jawatankuasa (AJK) pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan, pada Mei lepas.

Gerakan nampaknya tidak mampu bersendirian dan perlu mencari ‘tapak atau dahan baharu’. Ikhlaskah parti yang mencatatkan prestasi buruk pada 2018 ingin ‘berpaut di dahan baharu’ menjelang PRU. Adakah ini yang dikatakan jalan politik baharu?

Menyelak kembali kenyataan 23 Jun 2018, Gerakan menyatakan parti itu benar-benar perlu memulakan perjalanan politik baharu dengan kebebasan dan tegas dalam mengejar apa yang dipercayai terbaik untuk negara dan rakyat Malaysia.

“Kami memutuskan bahawa Gerakan perlu mencartakan arah baharu untuk mempertahankan dan meneruskan perjuangan parti,” kata Gerakan.

Menurut Gerakan, mereka meninggalkan BN dengan syarat baik dan menjadi parti bebas dalam blok pembangkang bagi menawarkan semak dan imbang kepada kerajaan PH.

Dan apabila Pilihan Raya Kecil ( PRK) Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 November 2019, Dr Dominic Lau berkata kebangkitan Gerakan sebagai parti politik utama bermula di PRK itu. Penyertaan di PRK itu akan memperlihatkan kekuatan parti sebagai antara parti utama selepas BN dan PH.

“Rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi PH sebagai kerajaan yang memerintah manakala BN melalui kerjasama antara UMNO dan Pas sedang menuju ke arah dasar kaum yang dibahagikan,” kata Dr Dominic Lau selepas merasmikan pusat operasi Gerakan bagi PRK Tanjung Piai dekat Pekan Nenas November lalu.

Malangnya dalam pertarungan lima penjuru itu, walaupun calon Gerakan Wendy Subramaniam memperoleh undi ketiga tertinggi iaitu 1,707 undi tetapi beliau hilang wang pertaruhan. Satu permulaan yang buruk.

Gerakan perlu susun strategi baharu, bukan sekadar strategi tinggalkan rakan yang ‘susah’ dan mencari kawan baharu yang ‘senang’.

Adakah Gerakan ikhlas untuk menyertai PN atau sekadar menumpang bahtera yang sedang bersiap sedia menuju PRU? Adalah lebih baik Gerakan bersendirian untuk membuktikan kebangkitan semula.

Buktikan Gerakan sebagai alternatif kepada BN, PH dan PN. Itu lebih baik daripada ke sana ke sini ke sana ke sini. Seperti kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang semalam, parti politik tidak boleh dianggap sebagai hotel persinggahan. Adakah Gerakan sudah menemui ‘hotel’ baharu untuk ‘singgah’,

Apa pun andai Gerakan diterima PN, diharapkan ia tidak menimbulkan masalah atau mengganggu rentak parti lain yang khabarnya sudah bersedia dengan pembahagian kerusi.

Mungkin BN sudah selesai mengatur pembahagian kerusi yang dulu ditandingi Gerakan untuk diwakili sama ada oleh calon UMNO (BN), MCA, MIC atau Pas atau sekutunya dalam PN.

Maka lebih baik Gerakan bersendirian dan fokus kepada Pulau Pinang. Cipta semula sejarah sebagaimana pembentukan Gerakan pada tahun 1968 iaitu memenangi Pulau Pinang ketika PRU 1969.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here