Sultan Selangor beli Kasut Emas Khalid Jamlus

0
276
TROFI Kasut Emas ini dimenangi Khalid selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Satu 2002 dengan 17 gol.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

SETELAH lebih dua bulan membuka bidaan Kasut Emas Liga Perdana Satu 2002 yang setimpal dengan reputasi selaku penjaring terbanyak, Khalid Jamlus akhirnya menemui pemilik baharunya – Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor itu berkenan membelinya pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, lapor laman sosial Facebook rasmi Pejabat Diraja Selangor, semalam.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) menerima trofi Kasut Emas Liga Perdana Satu 2002 daripada Khalid Jamlus. – Foto FB Pejabat Diraja Selangor

“Majlis penyerahan ringkasnya berlangsung di Istana Alam Shah, Klang.

“Tuanku (Sultan Selangor) turut berkenan agar trofi Kasut Emas yang dimenangi Khalid itu diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di pekarangan Istana Alam Shah,” lapor laman itu lagi.

Laman berkenaan tidak pula mengumumkan harga belian kasut yang dimenangi anak jati Ipoh, Perak ini selepas menyumbat 17 gol dan membantu Sang Seladang menjuarai Liga Perdana Satu 2002.

Khalid, 43, turut pernah menyarung jersi dan menganggotai skuad Merah Kuning yang membolot gelaran trebel 2005 (Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana) di bawah bimbingan Dollah Salleh.

Pada awal bidaan dibuka, Kasut Emas itu dilaporkan berharga antara RM10,000 dan RM50,000 manakala sekitar Julai lalu, Khalid mengesahkan terdapat bakal pembeli baharu dengan nilai RM99,999.00 yang menamakan diri, ‘Tuah Nice’.

MUZIUM Galeri Bola Sepak Selangor, Klang, Selangor ini menempatkan trofi Kasut Emas Liga Perdana Satu 2002. – Foto FB Pejabat Diraja Selangor.

Khalid memulakan kariernya dengan Perak kemudian Selangor, Kelantan, Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 1996 hingga 2012 selain memiliki 21 penampilan antarabangsa dengan pasukan kebangsaan dari 1998 hingga 2005.

Bersama Perak, dia turut merangkul Piala Malaysia 1998 dan 2000, Liga Perdana Satu 2002 dan 2003, Piala FA 2004 dan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah 1999.

Kesempitan hidup Khalid yang ditularkan pada laman sosial selepas khidmatnya selaku penolong jurulatih PDRM tidak disambung, mendapat perhatian ramai termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selain kerajaan negeri Perak.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here